IPOH – Kemunculan ‘Lelaki Ini’ setelah dua tahun menyepi, tenyata mengubat rindunya kepada peminat-peminat yang turut merindui kelunakkan suaranya melantunkan lagu-lagu berirama balada.

Makan Malam Amal Anuar Zain – Karena Aku Cinta 2022 yang diadakan di Ipoh International Convention Centre (IICC) pada 5 Mac 2022 lalu, terbukti telah memukau 1,000 tetamu yang hadir dari serata pelusuk negeri.

Anuar Zain sebuah nama besar yang terlakar sejak 40 tahun lalu, membuktikan auranya sebagai penghibur lagu gendre pop, balada dan R&B tidak pernah luntur, malah semakin meniti usia, semakin menyerlah keunggulannya dan sukar digugat oleh pendatang baru.

Sikap profesionalisme dan komitmen yang tinggi dalam kerjayanya sebagai penghibur tersohor tanahair ternyata menampilkan persembahan berkelas antarabangsa.
Persembahan kira-kira satu jam itu, bagaikan tidak terasa manakala lantunan satu demi satu lagu dendangan beliau menghanyutkan bersama perasaan para tetamu.

Pada awal kemuculannya di pentas, beliau mengalunkan lagu Kau Bunga Cintaku disambut dengan tepukan gemuruh serta jeritan dari peminat-peminatnya. Anuar bukan sahaja cermat mengawal pentas malah bijak melayan kehendak para peminatnya secara bersahaja.

Lagu-lagu lain seperti Keabadian Cintaku,Karena Aku Cinta, Hanya Milikmu, Jangan Bersedih Lagi, Bila Resah sememangnya tidak asing lagi membuatkan penonton malam itu turut menyanyi bersama malah ada yang mengalirkan airmata!

Sikap keprihatinannya terserlah apabila beliau sentiasa menasihati para peminatnya agar sentiasa menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang persembahannya lebih-lebih lagi sewaktu peminat menyerbunya untuk berswafoto.

Perasaan para penonton malam itu lebih syahdu sewaktu Anuar menyanyikan lagu Jera yang dipopularkan oleh Agnes Monica sebelum mengakhiri persembahan dengan dua buah lagu yang meruntum perasaan peminat-peminat wanita khususnya iaitu Lelaki Ini dan Sedetik Lebih.

“Saya telah jatuh hati apabila menerima jemputan daripada pihak pengajur untuk menjayakan konsert makan malam amal ini. Keikhlasan mereka untuk membantu para keluarga frontliners dan golongan terjejas akibat pandemik Covid-19 termasuk para penggiat seni negeri Perak. Lebih menyedihkan mereka yang kehilangan orang tersayang sebagai tempat berlindung begitu mengusik perasaan saya.

“Saya bersetuju untuk bekerjasama bukan kerana wang, malah pihak pengurusan kami tidak berkira sangat tentang itu. Saya juga kagum dengan kesungguhan mereka bersatu hati menjayakan konsert amal ini secara berkumpulan dalam penjualan tiket yang tidak melibatkan agen-agen luar.

“Saya sangat gembira bertemu peminat-peminat saya, saya sangat merindui peminat-peminat saya dan sambutan di luar jangkaan. Mereka pun sedemikian, maklumlah sejak dua tahun terkurung kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi kesempatan ini digunakan sebaik mungkin. Mereka datang dari serata pelusuk negeri semata-mata untuk menghiburkan hati dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan”, katanya kepada Peraktastic sambil disertai senyuman kepuasan sejurus selepas berakhirnya persembahan hebat pada malam itu. -PERAKTASTIC