IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), kini memulakan kerja-kerja penurapan jalan yang melibatkan dua kawasan pentadbiran MBI iaitu Hala Menglembu Timur dan Jalan Bercham.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata penurapan fasa pertama di kawasan MBI itu bermula pada 15 Mac 2022 membabitkan jalan-jalan utama sepanjang 18.76 kilometer, jalanraya di kawasan pusat bandar sebanyak 4.258 kilometer, jalan raya kawasan perumahan 27,133 kilometer dan jalan di kawasan perindustrian sepanjang 5.537 kilometer.

“Keseluruhan kos pada fasa satu ialah RM12 juta dan Fasa 2 pula sebanyak RM9 juta. Jumlah keseluruhan bagi kedua-dua fasa ini ialah RM21 juta yang melibatkan kerja-kerja infastruktur asas iaitu jalan, longkang dan lampu-lampu jalan.

“Pada ujung tahun 2020, lebih kurang RM27.1 juta diperuntukan bagi membaik pulih jalan-jalan. Namun pada tahun 2021, kejadian bencana alam seperti banjir kilat telah memfokuskan lebih kepada masalah yang melibatkan longkang-longkang.

“Tahun ini kita akan kembali memfokuskan kepada baik pulih jalan, memperbanyakkan lampu-lampu jalan dan lanskap bagi kawasan yang dikenal pasti. Walaubagaimana pun kerja-kerja menaik taraf longkang adalah perlu kerana kebanyakkan longkang yang ada sekarang berkapasiti kecil. Disebabkan taburan hujan tinggi, longkang-longkang kecil akan diperbesarkan bagi menampung lebih kapasiti air”, katanya kepada media selepas lawatan kerja penurapan jalan di Jalan Bercam, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Majlis MBI, Zon 11 (Bercham) Albert Ho Wai Mun, Mahader Ahmad Mohammad Ayob, Pengarah Kejuruteraan MBI, Azman Mohd Harun.

Sementara itu, Albert Ho Wai Mun berkata penurapan di kawasan Bercham keseluruhannya ialah 3.894 kilometer bermula dari simpang masuk Bercham sehingga lorong 19.

“Hari ini seramai 150 orang kakitangan menjalankan kerja penurapan sepanjang 400 meter dan dijangka siap keseluruhan pada pertengahan April depan. Kerja-kerja akan dilakukan 24 jam setiap hari.

“Baik pulih jalan ini dilakukan dengan sempurna untuk mendapatkan jalan yang rata dan berkuali. Proses ‘milling’ (membuang lapisan yang rosak) akan dilakukan terlebih dahulu sebelum penurapan dilakukan”, katanya.

Kerja-kerja fasa satu ini dijangkan akan siap sepernuhnya pada awal bulan Julai 2022. Sementara Fasa kedua pula akan bermula Mei hingga penghujung Ogos 2022.