PULAU PANGKOR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi telah merasmikan Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di pulau peranginan ini pagi tadi.

Pelancaran ReDI di negeri Perak merupakan kesinambungan usaha kementerian bagi menggalakkan pemain industri sektor peruncitan dengan perkembangan digitalisasi.

Ia turut membabitkan penglibatan rakan strategik penyedia e-wallet iaitu Maybank, Touch n Go, GrabPay, Paynett, Boost dan ShopeePay.

Majlis pelancaran ini adalah sebahagian daripada rangka kerja ReDI yang akan dilaksanakan di seluruh negara.

Tumpuan utama kementerian pada ketika ini adalah keperluan bagi peniaga peringkat mikro dan kecil.

Ia juga supaya mengadaptasi gelombang digitalisasi serta mengguna pakai e-wallet terutamanya di kawasan luar bandar.

Sejak awal lagi kementerian berpandangan bahawa semua peniaga termasuk mikro dan kecil perlu dibantu dalam digitalisasi perniagaan.

Sehingga 15 Mac lalu seramai 3,347 peniaga telah mengadaptasi program ReDI.