IPOH - Seramai 210,148 orang murid memulakan sesi persekolahan secara bersemuka di negeri Perak bagi kalendar akademik 2022/2023 yang bermula hari ini.

Daripada jumlah tersebut, murid sekolah kebangsaan (SK) adalah seramai 206,782 orang manakala sekolah menengah 3,366 melibatkan Kolej Vokasional tahun 2,3,4.

Seramai 30,648 merupakan murid Tahun 1 sesi 2022/23 di Perak dengan jumlah di seluruh negara adalah 442,828 murid.

Sementara itu, tinjauan hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka di SK Jalan Pegoh di sini mendapati suasana awal pagi sibuk dengan kenderaan ibu bapa.

Keadaan sebegitu telah lama tidak dilihat iaitu sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut, Afi Roshezry Abu Bakar memberitahu, seramai 153 murid Tahun Satu mendaftar pada sesi kali ini.

Katanya, proses kehadiran murid-murid baharu berjalan lancar dengan mengikut pematuhan yang ditetapkan.

"Ibu bapa menghantar anak sampai ke muka pagar sahaja sebelum diserahkan kepada guru-guru yang terlibat.

"Semua murid Tahun Satu akan mengikuti sesi orientasi selama empat minggu," ujarnya.

Katanya, sebelum pembukaan sekolah telah pun diadakan sesi taklimat kepada keluarga yang diadakan menggunakan platform Google Meet.