IPOH - Bagi mengurangkan pembuangan sampah plastik, warga bandar Ipoh digalakkan membawa bekas makanan dari rumah semasa ke bazar Ramadan.

Amalan tersebut membantu pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam membudayakan kitar semula.

"Orang ramai digalakkan membawa bekas makanan seperti mangkuk tingkat atau beg kitar semula semasa membeli juadah berbuka puasa.

"Hasrat kita ialah menjayakan kempen 3R di samping mengurangkan penggunaan beg plastik dan sisa," ujar Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis di Dewan Mesyuarat MBI di sini pagi tadi.

Pada tahun ini sebanyak 25 lokasi tapak bazar Ramadan disediakan melibatkan 1,250 petak niaga.

Sehingga tarikh ini, sebanyak 17 lokasi telah pun selesai menjalankan proses pengundian peniaga.

Kata Rumaizi, seperti tahun-tahun lalu, penganjuran bazar Ramadan telah diserahkan sepenuhnya kepada penganjur yang dilantik MBI berdasarkan kriteria ditetapkan.

"Bermula 1 April banyak aktiviti dan peraturan akan dipermudahkan, namun kita tetap memantau pematuhan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pemegang permit penjaja sementara juga
digalakkan untuk berniaga di mana-mana tapak bazar Ramadan yang masih kosong dengan menghubungi penganjurnya," ujar beliau.

MBI juga telah bekerjasama dengan beberapa syarikat swasta seperti Food Panda yang memperkenalkan 'Pink Ramadan' di bazar Ramadan Stadium dan Maybank Berhad melalui pembayaran tanpa tunai.

Ini juga salah satu pendekatan digitalisasi di kebanyakan tapak bazar sejajar dengan Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh 2030.