IPOH – Usaha warga bandaraya ini menjayakan projek kebun bandar tidak sia-sia apabila menerima pengiktirafan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Jabatan Pertanian negeri.

Kegigihan mereka dihargai apabila menerima hadiah sebagai pemenang Pertandingan Urban Farming Community pada Program Perak SADC Agrofest Masoorat Heritage Park@Ipoh yang berlangsung di Gunung Matsoorat malam tadi.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Komuniti Urban Farming SADC, Komuniti Urban Farming MBI, Komuniti Urban Farming Jabatan Pertanian negeri Perak dan Individu Terbuka.

Setiap kategori menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 bagi johan, naib johan (RM2,000) dan ketiga (RM1,000) beserta sijil penghargaan.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Yahanis Yahya.

Peraktastic pada tahun lalu melaporkan, MBI mempelopori projek pertanian bandar dan kebun bandar secara tersusun menerusi penglibatan komuniti setempat dalam usaha menggalakkan lagi aktiviti pertanian.

Ia juga bagi membekalkan sumber makanan secara berdikari.

Idea konsep pertanian bandar ini tercetus semasa penularan wabak Covid-19 disebabkan tiada pergerakan import dan eksport bahan-bahan mentah yang menyebabkan berlakunya kekurangan sumber makanan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin ketika itu berkata, konsep pertanian ini sebenarnya telah dilakukan di bandar-bandar negara maju misalnya Taiwan dan ia boleh dilaksanakan di sini kerana ia tidak rumit untuk dikendalikan.

Menurut beliau, pelaksanaan garis panduan ini dapat menyemarakkan lagi aktiviti perkebunan masyarakat bandar selaras dengan Dasar Kebun Komuniti Bandar pada peringkat nasional yang diperkenalkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 3 Ogos 2021.

SENARAI PEMENANG KOMUNITI URBAN FARMING 2022

Komuniti Urban Farming SADC
Surau At Tarbiyah Taman Cempaka (ketiga)
Komuniti Taman Meru Perdana (naib johan)
Komuniti kg tersusun bukit jana Kamunting (johan)

Komuniti Urban Farming MBI
Komuniti Taman Soon Choon (ketiga)
Komuniti Lapangan Panorama Perdana (naib johan)
Komuniti Surau Gerbang Meru Indah (johan)

Komuniti Urban Farming Jabatan Pertanian
Komuniti Kariah Masjid Bandar Universiti Sri Iskandar (ketiga)
Komuniti RPA Batu 8 (naib johan)
Komuniti KRT Kelebang Selatan (johan)

Urban Farming Individu Terbuka
Syed Osman (ketiga)

- PERAKTASTIC- foto: Ehsan MBI