IPOH - “Rumah kami rosak teruk apabila bumbung diterbangkan angin manakala sebahagian daripada struktur rumah
kayu runtuh.
"Kami hanya membaiki mana-mana bahagian zink sahaja dan terpaksa tinggal di bahagian dapur," ujar Kok Tek Mee, 51.
Dia antara beberapa mangsa kejadian ribut di Kampung Tawas pada Januari lalu di mana kejadian itu menyebabkan rumah mereka rosak teruk.
Malangnya, kerosakan rumah keluarganya sukar dibaiki apabila struktur rumah terjejas selain bahagian bumbung tercabut dibadai ribut.
Justeru, Tek Mee, 51, berterima kasih atas bantuan yang diberikan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan syarikat pemaju, Kinta Properties.
Kata jurujual sambilan ini, dia buntu memikirkan kos untuk membaiki kerosakan manakala pendapatan dia suami yang bekerja kilang hanya cukup makan.
Turut melahirkan rasa syukur ialah Leong Sau Fong kerana kerosakan dibadai ribut menyebabkan rumah pusaka keluarganya itu tidak dapat dibaiki.
“Rumah ini disewakan pada sebuah keluarga pemandu lori dengan bayaran RM200 sebulan dan ini juga merupakan sumber pendapatan tetap keluarga saya.
“Saya masih tidak percaya apabila pegawai MBI memaklumkan kepada keluarga saya bahawa Kinta Properties sudi membantu
membaiki rumah pusaka ini.
“Kami pasrah jika rumah tersebut terpaksa ditinggalkan dalam keadaan usang selain kehilangan pendapatan sewa," ujarnya.
Dua rumah berkenaan yang rosak teruk dibina semula oleh Kinta Properties dengan kos sebanyak RM60,000.
Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, inisiatif Kinta Properties dalam usaha membantu komuniti setempat yang dilanda bencana wajar dicontohi.
"Dua rumah kayu itu tidak boleh dibaik pulih, maka pihak Kinta Properties memutuskan untuk membina semula.
"Sehubungan itu, MBI ingin mengucapkan terima kasih kepada Kinta Properties kerana telah menghulurkan bantuan bagi membantu penduduk yang tidak berkemampuan untuk membaiki dan membina semula kediaman mereka," ujarnya.
Terdahulu Rumaizi turun padang meninjau kerja-kerja pembaikan rumah mangsa ribut di Kampung Tawas pagi tadi.
Pembinaan rumah baharu ini dijangka siap dalam masa dua minggu lagi.
Hadir sama Pengarah Kinta Properties Edwin Tan Beow Aik.
Pihak Kinta Properties sebelum ini telah menyumbang lebih RM40,000 untuk membaikpulih 44 buah rumah mangsa ribut di Taman Tasek Damai di sini.
Dalam pada itu kata Rumaizi, peruntukan sebanyak RM400,000 juga telah diterima daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membaiki kerosakan 28 rumah di Kampung Baru dan Tasik Damai.
Katanya, kerja-kerja pembaikan itu telah pun dimulakan secara berperingkat-peringkat sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu penduduk yang terjejas.