IPOH - Kadar zakat fitrah di Perak tahun ini masih dikekalkan dengan tiga pilihan bayaran iaitu RM7, RM14 dan RM21 mengikut kepada jenis beras yang lazim dimakan.

Perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada 4 hingga 6 Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, RM7 adalah harga minima yang perlu dibayar oleh setiap individu berkewajipan.

Bagaimana pun katanya, jika individu ingin melebihi kadar berkenaan ia sangat digalakkan atas dasar 'tatawwu' atau galakkan memperbanyak ibadah ketaatan.

MAIPk juga sudah melantik amil yang akan bertugas di semua masjid, surau, serta lokasi tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah.

"Kadar yang ditawarkan adalah RM14 bagi pembayar yang menggunakan beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut, herba poni dan seumpamanya.

"Zakat fitrah RM21 bagi pembayar yang menggunakan beras basmathi, beras jepun, beras merah dan seumpamanya," katanya di sini.

Kedah pembayaran juga boleh dibuat secara dalam talian antaranya menerusi medium FPX MAIPk dengan melayari ezakat.maiamp.gov.my : Aplikasi GoPayz; Aplikasi Shopee; Maybank2u; dan Aplikasi SnapNPay.