IPOH - Lokasi kurang sesuai selain bagi mengelakkan kesesakkan menyebabkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terpaksa membatalkan kelulusan tapak bazar Ramadan Station 18 di sini.

Ia juga berikutan bantahan peniaga di premis berdekatan.

Lokasi tersebut yang terletak bersebelahan Jalan Pasir Puteh walaupun strategik tetapi dikelilingi premis perniagaan termasuk empat buah klinik lantas dibimbangi sibuk dengan orang ramai.

Sebagai penyelesaian kesemua 22 peniaga di tapak bazar Ramadan Station 18 telah ditawarkan lokasi lain sebagai ganti.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya terpaksa membatalkan kebenaran berniaga di tapak sedia ada berikutan bantahan peniaga-peniaga premis.

Katanya, para peniaga tidak bersetuju kawasan itu dijadikan bazar Ramadan bagi mengelakkan kesesakan.

"Kita menawarkan dua lokasi lain iaitu di bazar Ramadan Taman Temara dan Desa Aman yang letaknya di zon yang sama.

"Kita telah pun memaklumkan tawaran ini kepada pihak penganjur dan ada beberapa peniaga telah bersetuju untuk berniaga di lokasi baharu," ujarnya di sini hari ini.

Beliau ditemu selepas Majlis Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI Tahun 2022 di Bangunan MBI.

Isu berkenaan timbul apabila penganjur dan beberapa peniaga tidak berpuas hati apabila lokasi bazar Ramadan Station 18 dibatalkan oleh MBI.

Jelas Rumaizi, isu berkenaan dianggap selesai dan tidaklah wajar untuk diperbesarkan kerana para peniaga tetap diberikan peluang berniaga cuma di lokasi yang lebih sesuai.