IPOH- Sebanyak 130,920 bil pembayaran cukai tahunan telah diterima dalam tempoh setahun yang mencatatkan jumlah bayaran lebihan sebanyak RM35.09 juta.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata walaupun terdapat sedikit penurunan daripada tahun 2021 iaitu sebanyak 141,191 bil dan jumlah lebihan sebanyak RM36.45 juta, jumlah ini masih lagi ditahap yang membanggakan.

“Mulai tahun ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membuka peluang penyertaan kepada semua saluran pembayaran bagi membuat pembayaran cukai taksiran satahun tanpa tunggakkan.

“Pembayaran boleh dilakukan di kaunter pembayaran MBI, Kaunter Pejabat Pos, Kaunter PBT Perak serta pembayaran atas talian iaitu pembayaran melalui Portal MBI (d mbi@ipoh), PBTPay, Jompay dan juga perbankan internet selewat-lewatnya pada sebelum sesi kedua 31 Ogos ini.

“Bagi pembayaran atas talian dan juga melalui agen kutipan, slip cabutan bertuah akan diproses secara automatik oleh pihak Majlis. Inisiatif ini, merupakan langkah untuk menggalakkan wargakota membuat pembayaran tanpa perlu hadir ke kaunter tetapi masih boleh menyertai cabutan bertuah”, katanya dalam sidang media sempena Majlis Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Tahun 2022 yang turut disaksikan oleh wargakota Ipoh secara langsung di laman sosial Facebook MBI.

Hadir sama, Ahli Majlis MBI, Clr. Dato' Mazlan Abdul Rahman, Clr. Abu Bakar Hussian, Clr. Mahader Ahmad Mohammad Ayob dan Setiausaha Bandaraya Ahmad Munir bin Ishak.

Sejumlah 50 cabutan bertuah telah dilaksanakan iaitu 20 bagi hadiah saguhati dan 30 bagi hadiah utama. Cabutan seterusnya dijangka akan dibuat sekali lagi pada tarikh yang akan ditetapkan untuk menentukan hadiah utama.

Menurut Rumaizi, pada tahun ini sebanyak 50 hadiah-hadiah menarik berupa wang tunai berjumlah keseluruhan RM 59,200.00 untuk dimenangi berserta hadiah utama bernilai RM 20,000.00. Ini merupakan tahun kedua pihak Majlis menawarkan hadiah berupa wang tunai.

“Bagi pembayar awal Cukai Taksiran Tahun 2022 pula, pihak Majlis telah menyediakan sebanyak 45,000 buku Kupon Letak Kereta Setengah Jam sebagai penghargaan.

Semoga wargakota Ipoh akan terus menjalankan tanggungjawab serta memberikan sokongan padu yang berterusan dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya Bestari Sejahtera”, ujarnya.