IPOH- “Telah lama saya teringin memiliki ‘sling beg’ untuk dipakai pada hari raya nanti”, begitulah luahan hati Mohd Adam Danish Abdul Rahman, 14, dari Grik.
Mohd Adam Danish, adalah antara 30 orang anak yatim Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh yang teruja membeli-belah setelah menerima baucer RM50.00 sumbangan dari pasaraya Enconve.
“Terima kasih pihak pengurusan Econsave yang bermurah hati memberi sumbangan untuk kami membeli serba sedikit persiapan untuk menyambut hari raya.
“Bagi kami peluang seperti ini sangat bermakna selepas dua tahun tidak dapat keluar membeli belah kerana pandemik Covid-19”, katanya dengan nada terharu.
Turut diraikan juga seramai 30 orang anak yatim dari Pertubuhan Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al Yassin, Ipoh.
Pengetuanya, Norizan Razali berkata sumbangan dari Econsave itu semestinya memberi keceriaan kepada anak-anak yatim di bawah jagaannya setelah dua tahun tidak dapat membeli-belah bersama-sama.
“Saya begitu terharu kerana setiap tahun pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Econsave dan Kelab Sukan Kebajikan Media Perak tidak terlepas meraikan penghuni Pertubuhan Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al Yassin.
“Terima kasih dan diharapkan amalan murni yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan ini mendapat keberkatan dari Allah”, katanya.
Sementara itu, Pengurus Econsave Ampang Baru, Shah Effendy Rosman berkata sebanyak RM3,000 telah diperuntukkan bagi menjayakan program itu menerusi dana Econsave Prihatin. Setiap seorang menerima baucer bernilai RM50.00.
“Program Pemilihan Pakaian Anak Yatim merupakan program tahunan yang telah masuk tahun ke-8 dan saya berharap ianya akan berterusan pada masa bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik”, katanya. - PERAKTASTIC