IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memperuntukan lebih kurang RM60,000 bagi melaksanakan program mengimarahkan bulan Ramadan.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata antara program yang akan diperbanyakkan ialah majlis berbuka puasa di masjid-masjid dan surau.

“Majlis berbuka puasa itu melibatkan 16 buah kawasan dan setiap kawasan diperuntukan sebanyak RM3,000. Pada masa sama peruntukkan itu akan ditambah lagi sebanyak RM16,000 untuk sumbangan duit raya menjadikan keseluruhannya lebih kurang RM60,000.

“Terdapat lebih kurang lima program membantu anak-anak yatim telah dirancang dengan kerjasama rakan strategik yang membabitkan lebih RM40,000. Secara anggaran kasarnya untuk program bulan puasa dan sambutan hari raya melibatkan RM100,000.

“Kita juga memfokuskan golongan asnaf menjelang hari raya nanti. Namun, kali ini sumbangan itu akan diberi dalam bentuk wang tunai RM100.00 setiap seorang. Ini kerana, kenaikkan harga barang an keperluan harian yang mendadak. Sumbangan wang tunai itu akan memudahkan mereka berbelanja untuk sambutan hari raya”, katanya dalam sidang media sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim, di Hotel M Roof, di sini semalam.

Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim anjuran MBI dan Hotel M Roof dengan kerjasama pasaraya Econsave dan Kelab Sukan & Kebajikan Media Perak (KSKMP).

Hadir sama Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh, Dato’ Mazlan Abdul Rahman; Abu Bakar Hussian; Mahader Ahmad Mohammad Ayob dan Pengurus Econsave Ampang Baru, Shah Effendy Rosman.

Sebelum itu, Rumaizi menyampaikan duit raya kepada 60 orang anak yatim terdiri dari Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh dan Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al-Yassin, Ipoh.

Rumaizi juga mengaulu-alukan penglibatan pihak kerajaan dan swasta dalam membantu menangani masalah golongan yang memerlukan.

“Saya yakin penglibatan pihak kerajaan dan swasta sebagai rakan strategik mampu membela nasib golongan kurang bernasib baik. Ia juga dapat memberangsangkan lagi pembangunan sesebuah bandar, negeri mahupun negara”, ujarnya. - PERAKTASTIC.