IPOH - Pekan Tanjung Rambutan atau lebih dikenali dengan sebutan pekan Tanjung letaknya tidak jauh dari pusat bandaraya Ipoh.

Dahulu cukup terkenal dengan pusat Mental Asylum yang siap dibina pada tahun 1911 dan merupakan pusat rawatan tertua seumpamanya di Malaysia. Hari ini pusat tersebut dikenali sebagai Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.

Seperti pekan lain, Tanjung Rambutan turut mempunyai kemudahan asas untuk penduduk seperti balai polis, pejabat pos, stesen keretapi dan pasar padang awam.

Padang awam Tanjung, masih lagi kekal dengan fungsinya sebagai padang orang ramai.

Berbeza dengan sebuah pekan lagi yang tidak jauh dari sini iaitu Chemor, padang awam Chemor telah pun menjadi pusat komersil  dengan dibina gerai-gerai kecil dan tapak meletak kereta.

Semasa sekitar tahun 90an, padang itu merupakan salah satu padang yang menjadi gelanggang perlawanan bola sepak, inter section pejabat pos besar ketika itu.

Selain padang Tanjung itu, Padang Abdul Jalil terletak di pusat bandar, Padang Ipoh, Padang Renjer (kini di Kem 2 Rejimen Renjer Diraja), padang Pernama dan lain-lain. 

Pasar Tanjung, beberapa tahun lepas telah pun dinaik taraf menjadi pasar moden yang lengkap dengan medan seleranya seperti Pasar Besar Ipoh. 

Stesen keretapi lama tidak digunakan mengikut fungsi asalnya.  Kini ia menjadi pusat jualan makanan dengan beberapa pengusaha makanan terkumpul di berniaga di situ. Antara yang terkenal adalah mamak mi goreng dan rojak mi. 

Idea menjadikan keseluruhan bangunan stesen ini sebagai kafe atau kedai makan sebenarnya baik bagi memastikan bangunan tua ini terus hidup dan berfungsi. 

Antara bekas stesen keretapi lama yang digunakan sebagai pusat jualan makanan seperti Stesen lama Kluang dan Stesen lama Taiping 

Berhadapan stesen ini adalah bangunan bekas pejabat pos binaan kayu yang lebih 10 tahun ditinggalkan dan kini kian mereput. 

Satu lagi tarikan yang membuatkan Pekan Tanjung ini terkenal dahulu adalah pasar malamnya. 

Satu waktu dulu pasar malamnya adalah yang terbesar di sekitar bandaraya Ipoh. Tapak pasar malam lama itu letaknya tidak jauh dari Kampung Melayu Tanjung Rambutan tetapi kini telah pun menjadi kawasan perumahan moden. 

Tidak jauh dari Pekan Tanjung, terletak pula satu lagi penempatan Melayu yang digelar Hulu Kinta.

Di sini terdapat dua penempatan yang terkenal atau landmark Hulu Kinta iaitu Markas Pasukan Gerakan Am atau dulunya sebagai Kem PPH (Pasukan Polis Hutan).

Landmark kedua adalah Maktab Perguruan Ipoh atau sekarang dikenali dengan nama IPG Ipoh.

Namun begitu, daerah kecil di pinggir bandaraya Ipoh kian membangun di dalam lipatan kenangan. -PERAKTASTIC- 

Nukilan- MOHD AMAR RAHYMEE ANUAR