IPOH- Keceriaan menjelang hari raya semakin terasa apabila 50 orang anak-anak kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dari golongan B40 berpeluang memilih baju raya dan menerima duit raya.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata kerjasama sumbangan yang dihulurkan oleh Theta Edge Berhad (TEB) sememangnya membantu warga MBI berpendapatan rendah dalam persediaan menyambut hari raya yang bakal menjelang tiba.

Menerusi program Majlis Penyampaian Pakaian Raya ini, TEB telah menyumbang sebanyak RM10,000 berupa baju raya berserta songkok atau tudung yang bernilai
RM150 dan juga sumbangan duit raya sebanyak RM50 kepada setiap penerima.

Ramadan Cheers anjuran Theta Edge Berhad bukan sahaja berkerjasama dengan MBI, malah melibatkan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) lain seperti Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sepanjang bulan Ramadan ini.

Saya berharap kerjasama ini akan berterusan pada masa hadapan, bukan sahaja membantu golongan berpendapatan rendah tetapi kepada semua golongan kurang bernasib baik yang seharusnya mendapat pembelaan”, katanya dalam sidang media sempena Program Ramadan Cheers di Pasaraya Mydin, Meru disini, semalam.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge Berhad, berkata Nuraslina Zainal Abidin berkata menerusi tanggungjawab sosial korporat kumpulan, #thetaCares, syarikat itu juga turut memberikan bantuan komputer riba kepada pelajar cemerlang daripada keluarga B40.

“Sebanyak 1100 buah dekstop turut diperuntukkan untuk kegunaan pusat-pusat komuniti di 11 buah negeri. Kerja-kerja pemasangan telah bermula sejak Februari lalu dan bakal diagihkan sepenuhnya penghujung tahun ini.

Selain itu, kita juga menggerakkan cabang #thetaCares lain iaitu, Digital Masjid yang menyasarkan institusi agama dan masjid di beberapa negeri dengan menyalurkan sumbangan komputer sebanyak 440 buah dekstop, penyediaan aplikasi pengurusan kewangan, dashboard dan cloud storage.

“Pelaksanaan program ini pastinya mewujudkan pengurusan masjid yang lebih telus, cekap dan efisien”, katanya mewakili Theta Edge Berhad yang merupakan anak syarikat Lembaga Tabung Haji.