Ipoh - Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ MD Daud menyatakan kewujudan Pincer Studio Sdn. Bhd. selain menjadikan Ipoh sebagai bandaraya seni, ia juga mampu menjadi pusat pembelajaran dan membuka peluang pekerjaan.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah pun mendapat penyeliaan kuasa pajakan Studio Pincer dan sekarang dalam rangka pengaktifan semula yang berkemampuan menjana ekonomi seni budaya di bandaraya Ipoh.

“Bagi memastikan pengoperasian Studio Pincer ditahap yang optimum, organisasi yang dilantik adalah terdiri daripada pemain industri seni itu sendiri dan juga pihak pengurusan yang berpengalaman.

“Saya yakin dan percaya Studio Pincer ini akan menjadi pusat sehenti seni kepada pengkarya seni di Malaysia mahupun luar negara. Ini kerana, industri kreatif yang merangkumi pelbagai elemen seni  seharusnya menjadi syarat utama bagi mewujudkan sebuah bandar maju sebagai bandar kesenian.

“Studio Pincer akan memulakan operasi pada pertangahan tahun ini, namun bangunan itu perlulah melalui beberapa fasa baik pulih sebelum digunakan. Begitu juga dengan penambahan peralatan-peralatanbaharud an terkini. Sekiranya sudah lengkap, pasti akan menarik penggiat seni dari dalam dan luar negara menggunakan perkhidmatan yang disediakan”, katanya yang juga Pengerusi Pincer Studio, selepas lawatan beliau ke Studio Pincer di sini pagi ini.

Pincer Mbi Studio Sdn Bhd. (Pincer MBI Studio) ditubuhkan pada 17 Mac 2022 untuk mengaktifkan semula Studio PINCER yang telah terbiar sejak tahun 2018 dalam memastikan industri kreatif di Ipoh terus berkembang.

Studio PINCER yang terletak di Meru Raya itu, telah dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di bawah projek Taman Teknologi Tinggi Perak (PHTP) dengan menelan kos sebanyak RM20 juta pada 2011.

Turut hadir, pengurusan kanan Pincer MBI Studio iaitu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kah Fee Yee@Thong dan Pengarah Eksekutif, Allyan Too serta Ahli Lembaga Pengarah.