IPOH- “Saya tidak pernah berbuka puasa di hotel, tetapi hari ini seronok sangat dapat makan banyak-banyak dan sedap-sedap ditempat cantik, terima kasih Datuk Seri Vida”, luah adik Naz Sofian, 11, dari Chemor yang baharu kematian ayahnya hampir sebulan yang lalu.

Adik Naz antara 21 orang anak-anak yatim miskin yang diraikan oleh Bahtera Amal dan Pertubuhan Putri Kebajikan Perak (BAPPKP) dalam majlis berbuka puasa di Hotel MH, di sini semalam.

Hasrat anak-anak yatim untuk berbuka puasa di hotel yang disampaikan menerusi Pengerusi (BAPPKP), Wan Norashikin Noran atau lebih dikenali sebagai Mama, meruntum hatinya dan mencari jalan bagaimana untuk menunaikan hajat anak-anak yatim tersebut.

Menurut Mama, untuk tidak menghampakan hasrat anak-anak yatim itu, beliau menghubungi Presiden Kelab Sukan & Media Perak, Rosli Mansor Ahmad Razali untuk membantu mencari penaja majlis berbuka puasa.

“Saya begitu terharu dengan kemurahan hati usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida menaja majlis berbuka ini. Apabila anak-anak yatim mendapat tahu mereka berpelaung berbuka di hotel, mereka begitu teruja sehingga ada yang berazam tidak mahu ponteng puasa kerana tidak sabar menunggu tarikh yang ditetapkan.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Vida, Econsave dan Hotel MH yang bersama-sama menjayakan majlis ini. Kegembiraan anak-anak yatim jelas terbayang sewaktu mereka menikmati pelbagai juadah berbuka yang sebelum ini tidak pernah mereka rasai.

“Kesemua anak-anak yatim ini, bukanlah tinggal di asrama tetapi mereka tinggal di rumah bersama ibu mereka yang hanya berkerja kais pagi makan pagi. Jalan cerita kehidupan merela sangat memilukan setelah kematian bapa mereka. Sebenarnya kehidupan mereka lebih sensara dari anak-anak yatim yang tinggal di asrama”, katanya kepada Peraktastic semalam.

Sementara itu pihak Econsave Ampang Baru, Shah Effendy Rosman berkata pihaknya sentiasa memberi kerjasama dan menyalurkan sumbangan menerusi Econsave Prihatin tanpa mengira bangsa.

“Kami memberi sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian, memandangkan kos sara hidup semakin tinggi kepada golongan kurang bernasib baik. Saya berharap ia dapat meringankan bebanan yang dihadapi”, katanya.

Penolong Pengurus Operasi MH Hotel, Erwin Kung berkata pihaknya turut berasa gembira kerana dapat berkerjasama meraikan anak-anak yatim miskin pada bulan Ramadan ini.

“Terima kasih kerana memilih MH Hotel untuk melaksanakan program kebajikan ini, kami juga sentiasa bersedia serta menyokong apa sahaja program kebajikan yang dianjurkan oleh pelbagai jabatan dan agensi. Keceriaan mereka adalah kepuasan bagi kami”, katanya selepas menyampaikan ‘duit raya’ kepada anak-anak yatim yang diraikan.- PERAKTASTIC-