IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan solat Sunat Aidilfitri dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah di masjid dan surau.
Solat Sunat Aidilfitri dibenarkan juga diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan-kawasan perumahan dengan syarat pihak penganjur memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Aidilfitri kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah dan Balai Polis atau Pondok Polis terdekat.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, ketetapan itu dizahirkan oleh baginda dengan berlandaskan sembah nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.
Menurutnya, Sultan Nazrin juga berkenanan menitahkan aktiviti takbir Aidilfitri diadakan dari rumah ke rumah serta membolehkan hidangan jamuan Aidilfitri di masjid dan surau secara terbuka atau bufet. Begitu juga aktiviti ziarah kubur juga diboleh.
“Bermula Solat Maghrib, hari Khamis 26 Ramadan 1443 / 28 April 2022, dibolehkan hidangan jamuan secara terbuka atau bufet diadakan di masjid dan surau.
“Semua aktiviti Aidilfitri hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dan JKN seperti pemakaian pelitup muka dan mendaftar kehadiran di MySejahtera”, katanya dalam satu kenyataan di sini pada hari ini.
Katanya, semua aktiviti Aidilfitri hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dan JKN seperti pemakaian pelitup muka dan mendaftar kehadiran di MySejahtera.
“DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat baginda di samping mendoakan kesejahteraan mereka”, ujarnya.