IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum mengeluarkan sebarang arahan berhubung tarikh akhir pemberian dos penggalak pertama di klinik kesihatan atau klinik swasta.

Pada masa sama dos penggalak kedua masih diberikan secara percuma di klinik kesihatan dan hospital (sPPV) sehingga arahan baru daripada pihak KKM diterima.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, jumlah fasiliti kesihatan di Perak yang memberikan perkhidmatan dos penggalak kedua adalah sembilan buah hospital kerajaan (sPPV), 69 klinik kesihatan dan 139 fasiliti kesihatan swasta.

"Sehingga 10 Mei seramai 4,893 orang telah mendapatkan dos penggalak kedua di Negeri Perak.

"Data ini diperolehi daripada pihak pengurusan data Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)," ujarnya memetik kenyataan dalam laman Facebook.

Daripada jumlah tersebut penerima vaksin dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun ke atas adalah seramai 1,927 iaitu 0.54 peratus daripada jumlah penduduk warga emas.

Manakala bagi penduduk berusia 18 hingga 59 tahun adalah seramai 2,966 iaitu 0.19 peratus daripada jumlah penduduk dalam kalangan usia tersebut.

Dalam pada itu kata Mohd. Akmal, kanak-kanak berumur lima tahun selepas 31 Mei masih boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di klinik kesihatan atau klinik swasta secara percuma dengan membuat tempahan temujanji dalam aplikasi MySejahtera.

Ujarnya, untuk itu ibu bapa adalah disarankan mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan pautan janjitemu atau secara datang terus ke PPV yang ditetapkan.

"Pilihlah untuk memvaksinkan anak kerana manfaatnya lebih besar daripada risiko tanpa divaksin," katanya.