IPOH - Kerajaan negeri memberi sumbangan sebanyak RM140,000 kepada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Perak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad memaklumkan perkara itu dalam ucapannya semasa merasmikan Mesyuarat Agong Perwakilan ke-35 Tahun 2022 PPKM di Bangunan Perak Darul Ridzuan baru-baru ini.

“Kita telah bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak RM50,000 kepada PPKM untuk tahun ini. Tetapi, oleh kerana ada sembilan cawangan di Perak, jadi kita beri lagi setiap cawangan RM10,000. Maka, keseluruhannya adalah RM140,000.

“Mudah-mudahan ia dapat digunakan untuk aktiviti beriadah dan penganjuran program-program yang bermanfaat untuk mengisi usia persaraan ini,” katanya semasa berucap pada majlis itu.

Beliau juga yakin bahawa ahli-ahli persatuan ini telah sedaya upaya mencurahkan bakti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat sepanjang berkhidmat dalam kerajaan.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Halizah Sipun dan Yang Dipertua Negeri PPKM Perak, Dato’ Mohamed Hamzah.

Sementara itu dalam ucapannya, Mohamed turut berkongsi sedikit sebanyak mengenai persatuan ini kepada para tetamu yang hadir.

“Persatuan ini telah ditubuhkan sejak 50 tahun yang lalu. Ia terdiri daripada peringkat kebangsaan, negeri dan daerah-daerah.

"Di Perak, kami mempunyai sembilan cawangan. Bagi daerah Muallim dan Batang Padang, ia bergabung menjadi satu cawangan. Begitu juga untuk daerah Kinta dan Kampar serta Hilir Perak dan Bagan Datuk.

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa prihatin terhadap persatuan ini dan kami akan terus berusaha menabur bakti kepada masyarakat,” katanya dalam ucapan tersebut. - ends//