IPOH: Warga kota disarankan mengikuti prosedur ditetapkan sekiranya ingin melaksanakan aktiviti pertanian bandar dan kebun komuniti bandar.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @Md Daud berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengalu-alukan warga kota untuk melakukan aktiviti pertanian mengikut jenis pertanian dan kesesuaian keluasan kawasan tanpa menganggu ekosistem dan kemasyarakatan.

“Permohonan perlu dibuat terlebih dahulu bagi tujuan penilain, selaras dengan garis panduan pertanian bandar dan kebun komuniti bandar MBI.

“Menerusi garis panduan yang ditetapkan, aktiviti pertanian bandar hanya merangkumi tanaman kontan seperti kobis, cili, sawi, terung dan sebagainya di kawasan yang dibolehkan.

“MBI menyambut baik sekiranya ada warga kota yang berminat untuk membangunkan kira-kira lebih 2,000 hektar tanah terbiar di sekitar bandar raya dengan aktiviti berkenaan”, katanya dalam sidang media Acara ‘Kinta Food Hero’ anjuran Junior Chamber International (JCI) Kinta, Bond Holdings Sdn Bhd dan MBI di sini pada Khamis.

Rumaizi berkata demikian apabila diminta mengulas tentang saranan kerajaan negeri supaya rakyat dapat menanam sendiri sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri susulan kekurangan bekalan makanan yang dihadapi ketika ini.

Tambahnya, MBI telah meluluskan permohonan pertanian bandar di kawasan pasir Pinji bagi penanaman pokok cili di atas tanah berkeluasan kira-kira 4,000 kaki persegi.

Tanah tersebut merupakan tanah Kampung Baru yang berstatus rumah untuk ditukar kepada tanah pertanian sementara.

“Ketika ini dianggarkan 100 permohonan untuk pertanian bandar dan kebun komuniti bandar telah diluluskan sejak diperkenalkan pada penghujung dua tahun lalu.

“Permohonan haiwan ternakan pula, beberapa kriteria perlu dipatuhi antaranya tidak membabitkan kawasan luas dan menimbulkan kacau ganggu setempat. Selain arnab dan burung puyuh, kebenaran untuk menternak haiwan lain seperti ayam juga akan melalui proses penilaian yang sama.

“Kita tidak meluluskan permohonan membabitkan kawasan padat seperti di tengah-tengah bandar untuk penternakan ayam kerana ia perlulah mengikut zon sesuai. Sekiranya melibatkan kawasan tidak padat atau di pinggir bandar seperti di Ulu Kuang, itu dibenarkan. Namun konsepnya adalah ternakan ayam reban kecil,” katanya.

Rumaizi memberitahu MBI telah menggerakkan kempen menggalakkan aktiviti pertanian bandar dengan membabitkan kerjasama beberapa pihak seperti Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Jabatan Pertanian Negeri serta wakil-wakil rakyat.

“Inisiatif menggalakan aktiviti pertanian bertujuan mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga beberapa produk pertanian dan penternakan ketika ini.

“Kesemua Ahli Majlis MBI juga turut telah digerakkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat di peringkat akar umbi berhubung aktiviti berkenaan”, ujarnya.