IPOH - Keputusan memansuhkan terus peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) menimbulkan tanda tanya pada segelintir ibu bapa berhubung kaedah baharu dalam melaksanakan penilaian pada murid.

Pada sudut lain dakwa mereka, dengan pemansuhan ini pelajar tidak tertekan lagi memikirkan sasaran A yang diperlukan untuk masuk ke sekolah yang diimpikan.

Ini kerana pelajar tingkatan tiga yang ingin masuk ke asrama penuh akan dinilai melalui tiga komponen utama iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsI) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Mereka juga perlu menduduki peperiksaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Seorang bapa, Ahmad Nizam Ahmad Kamal, 40 berkata, ada baiknya sistem pendidikan berfokuskan peperiksaan digantikan dengan kaedah yang lebih sesuai dengan keperluan semasa.

Bagaimana pun katanya, dia bimbang sekiranya kaedah penilaian yang baharu tidak telus atau membebankan murid dengan lebih banyak kerja berbanding peperiksaan.

"Seperkara lagi ialah wujud kebimbangan pelajar tidak merasa ada persaingan kerana tiada lagi peperiksaan besar," ujarnya.

Pandangan juga diberikan pekerja swasta, Mohd. Nor Izwandi Ramlan, 45, yang berpandangan perubahan sistem itu
sedikit sebanyak merencatkan pembangunan pendidikan.

Katanya, akan wujud kelompok pelajar yang tidak mengambil kisah pada pelajaran dengan berpandangan mereka tidak akan menghadapi peperiksaan.

"Bagaimana pun, saya rasa pelajar yang bercita-cita untuk masuk ke sekolah berasrama akan memberi tumpuan pada keperluan tersebut termasuk persediaan peperiksaan untuk ke asrama," ujarnya.

Difahamkan, sebelum ini sekitar 400,000 pelajar di seluruh negara menduduki PT3.

Walaupun peperiksaan paling penting di Malaysia adalah Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), PT3 dapat membantu murid-murid terlibat memastikan aliran manakah yang
sesuai untuk mereka menaiki tingkatan 4 dan seterusnya menduduki SPM.

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan PT3 dimansuhkan mulai tahun ini dan digantikan dengan pengukuhan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia merangkumi tiga komponen utama iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“Murid akan ditaksir oleh guru setiap masa menerusi pentaksiran berasaskan sekolah.

“Untuk memastikan murid mendapat penguasaan sepenuhnya dalam sesuatu topik yang diajar,” katanya.