LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan dua bot nelayan tempatan di kedudukan dua batu nautika barat daya muara Sungai Belukang, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan Pulau Sembilan.

"Hasil pemeriksaan oleh pasukan operasi mendapati, bot yang berpangkalan di Bagan Pasir Laut, Perak itu dikendalikan dua tekong warga tempatan berumur 49 dan 65 tahun.

"Sebuah bot tanpa pendaftaran itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) iaitu menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen yang sah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata sebuah lagi bot disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) iaitu melanggar syarat sah lesen.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hambali memaklumkan Maritim Perak turut menahan sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan kira-kira 3.9 batu nautika barat Pulau Talang sekitar jam 4.25 petang pada Jumaat lalu.

"Bot yang dikendalikan oleh dua kru dan tekong warga Thailand berumur antara 39 hingga 52 tahun disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b).

"Iaitu menangkap ikan kurang lapan batu nautika dari darat dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tinggal di Malaysia tanpa memiliki permit yang sah," katanya lagi.

Kesemua bot serta kru diiring ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Kampung Acheh di sini untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.