IPOH: Kontrak Majuperak Utilities Management Sdn Bhd (MUMSB) untuk menguruskan kerja berkaitan pungutan sampah di beberapa kawasan di negeri ini tidak akan disambung.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara itu diputuskan selepas pihaknya mengadakan perjumpaan dengan syarikat berkenaan baru-baru ini.

Ujarnya tempoh percubaan syarikat konsesi itu juga akan tamat pada November tahun ini, di samping kerajaan negeri juga tidak lagi mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

"Kita sudah bercakap dengan Majuperak Holdings Berhad, mereka akan tamat konsesi pada November ini. Setelah kerajaan negeri membuat keputusan tidak lagi menggunapakai Akta 672.

"Bermakna tempoh percubaan dua tahun akan tamat, jadi selepas ini pihak berkuasa tempatan (PBT) akan kembali kepada cara asal.

"Mereka sendiri yang akan menguruskan pungutan sampah dan sisa pepejal sama ada diuruskan oleh pekerja PBT berkenaan ataupun mereka akan beri kepada kontraktor lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas hadir Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini pada Selasa.

Sebelum ini Saarani berkata, pihaknya akan memanggil Majuperak Holdings untuk mengarahkan syarikat itu menasihati MUMSB berhubung isu sampah tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan syarikat lain yang berminat mengambil kontrak menguruskan kutipan sampah untuk menimbangkan keputusan itu sebaik-baiknya bagi memastikan isu kutipan sampah tidak timbul.

"Banyak syarikat yang berminat untuk masuk dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atau PBT lain. Tetapi ia tertakluk kepada keupayaan PBT itu membiayainya.

"Kalau PBT tak mampu bayar (kontraktor), ia menyebabkan prestasi syarikat itu rendah.

"Saya ingatkanlah PBT masing-masing lihat perkara ini secara serius, buat kajian dan syarikat berkaitan pun fikir sama ada berbaloi atau tidak untuk masuk tawarkan perkhidmatan di semua PBT, " katanya lagi.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai rungutan orang ramai di sekitar Perak berhubung kegagalan pihak berkenaan mengutip sampah sehingga berminggu lamanya.

Selain itu, penduduk juga mendakwa mereka terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan memungut sampah di taman perumahan menggunakan kenderaan masing-masing, kerana tidak tahan dengan bau dan longgokan sampah itu.

"Kita sudah bincang dengan Datuk Bandar tentang isu ini, ia juga berkaitan dengan syarikat konsesi yang mengikat perjanjian dengan MBI.

"Kita minta MBI lihat semula prestasi mereka (syarikat konsesi). Orang merungut kerana mereka pembayar cukai kepada MBI dengan harapan MBI memberi perkhidmatan yang baik dalam soal ini.

"Saya pun melalui kawasan di Meru, memang nampak sampah dengan lalat dan anjing yang bongkarkan sampah itu, nampak kotor," katanya lagi.