IPOH - Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Bgd) menganjurkan Pertandingan Senam Tari Peringkat Bakat Divisyen Keempat Infantri Malaysia (4 Div).

Markas Divisyen Keempat Infantri Malaysia dalam kenyataan memberitahu, acara berkenaan berlangsung di Dewan Auditorium, Pusat Latihan Wataniah, Ipoh pada 7 Jun lalu.

"Pengerusi Bakat 4 Div, Datin Hanessabirin Yusoff hadir bagi menyaksikan pertandingan berkonsepkan tarian perpaduan yang menggabungkan tarian Melayu, Cina, India dan etnik Sabah serta Sarawak.

"Turut hadir pengerusi-pengerusi Bakat iaitu 2 Bgd, 11 Bgd, 12 Bgd dan Gabungan 4 Div," menurut kenyataan itu.

Pertandingan ini melibatkan Bakat Formasi dan Gabungan MK 4 Div di bawah naungan 4 Div.

Secara umumnya pertandingan ini dapat menyemai sifat muafakat serta mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli Bakat

Jelas kenyataan itu lagi, ia juga merupakan persediaan bagi memilih kumpulan yang terbaik bagi mewakili formasi Bakat 4 Div ke Pertandingan Senam Tari Peringkat Bakat Darat.

"Bakat 2 Bgd tampil unggul menjadi johan dalam pertandingan ini manakala naib johan disandang oleh Bakat 11 Bgd.

"Tempat ketiga jatuh pada Bakat 12 Bgd dan Bakat Gabungan 4 Div tempat keempat," ujarnya.