IPOH: Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) akan memohon peruntukan tambahan dalam bajet tahun hadapan, khusus untuk program pembangunan wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, peruntukan itu penting memandangkan bajet sebelum ini dikurangkan susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

"Ya, sudah tentu (keperluan tambah peruntukan) sebab kita lihat tahun ini banyak bajet yang dikurangkan kerana pandemik.

"Untuk tahun depan memang pihak saya dan Wanita Perak sudah merancang untuk memohon dana yang lebih, sekali ganda lagi untuk kita susun program khusus.

"Macam sekarang kita ada program baharu yang dinamakan BizMan. Ia khusus untuk peniaga kecil lelaki, sebelum ini kita ada BizNita untuk peniaga kecil wanita. Jadi kita beri peralatan dan bimbingan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Program Karnival Mesra Wanita Perak (Kawan Mesra) Tahun 2022 di Laman Seri Ridzuan, di sini pada Selasa.

Isteri kepada Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin hadir bagi merasmikan program.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad turut hadir dalam sesi Forum Mesra Kawan bersama-sama hadirin.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Dr Wan Norashikin berkata karnival tersebut khusus untuk wanita di negeri ini.

Katanya lagi, peserta yang hadir hari ini datang dari 12 daerah di Perak dengan pelbagai latar belakang.

"Kita ada anjurkan karnival dan forum berkaitan wanita inspirasi keluarga, ia bagi menyahut saranan Menteri Besar ke arah Perak Sejahtera," katanya lagi.

Dalam pada itu, Saarani dalam ucapannya berkata peranan wanita penting, termasuk dalam pembangunan sesebuah negara.

Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak yang berkenaan khususnya Wanita Perak.

Katanya lagi, Wanita Perak bertindak sebagai agensi yang menyelaraskan dasar dan polisi berkenaan pembangunan wanita dan sosial di peringkat kerajaan negeri.