IPOH: Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mencatatkan peningkatan, yang didorong dengan musim hujan berterusan sejak awal bulan Mei lalu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sehingga 25 Jun (Minggu Epid:25) sebanyak 221 kes denggi telah dilaporkan di sekitar bandar raya Ipoh.

Katanya peningkatan itu sebanyak 151.1 peratus berbanding 88 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata, sebanyak tiga lokaliti telah menjadi kawasan khas (hotspot) tahun ini, iaitu Pekan Razaki dan Desa Sri Ampang pada bulan Mac dan Kampung Tersusun Batu 8 pada Jun.

"Hasil kerjasama penduduk setempat dan semua agensi bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan MBI, lokaliti tersebut berjaya dikeluarkan daripada hotspot pada 15 Jun lalu.

"Sehingga 28 Jun hanya tiga lokaliti yang masih berwabak iaitu Taman Bunga Raya (2 kes), Taman Rima Gamelan (2 kes) dan Taman Perpaduan Raya (2 kes). Wabak di kawasan ini dijangka tamat dalam tempoh seminggu," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBI bulan Jun di sini pada Khamis.

Rumaizi berkata, sehingga 31 Mei lalu sebanyak 1,176 notis penghapusan kacau ganggu semak samun lot terbiar dan rumah terbiar telah dikeluarkan.

Katanya sebanyak 884 telah patuhi dan kadar pematuhan adalah 75 peratus.

"Lot kosong dan rumah terbiar adalah tempat berisiko untuk pembiakan nyamuk aedes dan haiwan berbisa yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan penduduk sekitar.

"Sebanyak 10 tawaran kompaun bernilai RM 5250 telah dikeluarkan kepada pemilik yang gagal patuhi notis.

"Semua pemilik dan pemaju lot-lot persendirian/rumah yang terbiar bersemak-samun serta berhampiran dengan kawasan perumahan diminta supaya diselenggara secara berkala," katanya lagi.

Ujarnya lagi aktiviti pencegahan dan kawalan untuk menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk perlu dilaksanakan secara berterusan dan dipertingkat.

Ia penting bagi memastikan kepadatan (densiti) nyamuk aedes berada pada tahap seminimum yang boleh pada setiap masa.

Jelasnya lagi, musim hujan yang berterusan berselang cuaca panas di daerah Kinta boleh membantu meningkatkan densiti (bilangan nyamuk).