MANJUNG - Pantai peranginan Teluk Senangin, Lumut menjadi lokasi ketiga bagi program 'Life Saving Applience' (LiSA) pada Sabtu lalu selepas pantai Pulau Pangkor dan Teluk Batik.

Inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ini adalah sebagai langkah tambahan keselamatan pengunjung di pusat perkelahan dan peranginan di pesisir pantai.

Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan program itu relevan ambahan pula Manjung memiliki pantai peranginan dan perkelahan yang menjadi tumpuan awam.

Menurut kenyataan itu, objektif program kesedaran di air ini ialah tentang kegunaan dan penggunaan alat keselamatan LiSA kepada orang awam.

"Peti LiSA yang mengandungi peralatan seperti pelampung, jaket keselamatan, 'throw bag rope' dan dilengkapi siren.

"Ia boleh digunakan pengunjung pantai sebagai langkah bantuan awal sekiranya berlaku insiden lemas yang menimpa pengunjung di pesisiran pantai," ujar kenyataan itu.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Ts. Ahmad Izram Osman.

Turut hadir Pesuruhjaya Bomba negeri Perak, Azmi Osman dan Setiausaha Perbandaran, MPM, Mohd. Helmi Arifin.

Menerusi inisiatif ini, pengunjung perlu peka dan mengingati kepentingan keselamatan semasa menjalankan aktiviti di air.

Pada masa sama orang ramai khususnya pengunjung pantai dapat mengelakkan sebarang vandalisme dan kerosakan lain kerana peti inovasi itu adalah milik awam.