TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) telah menjalankan kerja-kerja pembersihan di sebuah rumah di Jalan Keranji, Taman Simpang yang dipenuhi sampah kitar semula.

Ia susulan aduan daripada penduduk setempat yang tidak selesa dengan keadaan rumah tersebut dipenuhi sisa sampah kitar semula, di samping menyebabkan kacau ganggu kepada jiran berhampiran.

MPT dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, kerja pembersihan bermula jam 8 pagi dan berakhir pada 11 pagi.

"Kerja itu dibantu dengan dua buah lori untuk membersihkan longgokan sampah dari rumah tersebut.

"Sepasang suami isteri yang tinggal di rumah tersebut diarahkan untuk tidak meneruskan aktiviti pengusahaan barang kitar semula secara tidak berlesen berkuat kuasa serta merta," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sebelum ini pemilik kediaman berkenaan telah dikompaun sebanyak RM250 di bawah Seksyen 70 (12) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Iaitu menyalahguna premis sebagai tempat penyimpanan barang-barang kitar semula.

MPT turut menasihatkan masyarakat tidak mengumpul sampah sarap meskipun dalam kawasan rumah.

Longgokan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran MPT biarpun masih dalam kawasan rumah boleh dianggap sebagai kesalahan.