LANGKAWI - Menteri Besar Incorporated (MB Inc.) turut serta dalam program Pelan Tindakan Bandar Hijau (GACP) Kick-Off Building Back Better yang berlangsung di Aloft, Langkawi pada Rabu dan Khamis lalu.

Program di bawah kerjasama Subserantau IMT-GT dan BIMP-EAGA anjuran Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) dengan kerjasama Asian Development Bank.

MB Inc dalam kenyataan memaklumkan, program itu menghimpunkan panel-panel berkaitan untuk perkongsian dan implementasi bagi pelan tindakan bandar hijau untuk 14 buah bandar di Malaysia.

Menurut kenyataan tersebut, turut berlangsung ialah prapelancaran inisiatif The Race Towards 1000 Eco-Schools oleh Green Growth Asia Foundation (GGAF) yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed.

"Program ini mensasarkan 1,000 Eco-Schools di Malaysia menjelang 2025.

"Eco-schools merupakan sebuah program lestari bersifat global dengan penglibatan 70 negara yang menerapkan modul pendidikan berteraskan kelestarian alam sekitar," ujar kenyataan itu.

Hadir pada majlis ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi ; Duta Besar Kesatuan Eropah ke Malaysia, Michalis Rokas dan Pengarah UPEN negeri Perak, Halizah Sipun.

Turut hadir Setiausaha Bandaraya Ipoh, Ahmad Munir Ishak ; Pengarah JPN Perak, Aznan Alias dan Pengarah Eksekutif GGAF, Dr. Mahadi Mohamad.

Dalam pada itu, MB Inc. juga menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama yang menjadi peneraju dan penggerak program kelestarian berasaskan projek Eco-schools sekolah-sekolah di negeri Perak.

Ia digerakkan bersama dengan GGAF yang menerima kerjasama baik Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dalam permerkasaan program ini.

Pada majlis tersebut, MB Inc. yang diwakili oleh Pengurus Besar Komunikasi Strategik Korporat, Cik Siti Kamesah Bee turut menerima plak penghargaan Eco-Schools- Project Champions
daripada Dato’ Sri Mustapa Mohamed atas penglibatan itu.

MB Inc. turut menerima plak bagi 100,000 penyertaan pada kempen larian maya anjuran Eco-Schools Perak yang melibatkan pelajar dan sekolah dalam usaha untuk mendidik dan mengenali program tersebut di negeri ini.