Baru-baru ini negara digemparkan dengan kejadian kepala air dan banjir kilat di Baling, Kedah.

Kejadian itu mengakibatkan rumah dan harta benda penduduk setempat musnah dalam sekelip mata, malah turut meragut beberapa nyawa akibat arus air deras.

Susulan peristiwa itu, ramai yang tampil menghulurkan bantuan. Bukan sahaja makanan tetapi juga keperluan asas bagi mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Tidak terkecuali Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang menghantar misi bantuan ke Baling bagi membersihkan kawasan yang terjejas teruk.

Setiausaha Bandaraya MBI, Ahmad Munir Ishak yang mengetuai konvoi bantuan tersebut turun padang ke lokasi dan sama-sama memastikan misi berjalan lancar.

Kemudahan kenderaan pacuan empat roda dan lori MBI turut memudahkan penugasan mengangkut barang-barang yang rosak akibat banjir, selain kayu atau objek asing yang dihanyutkan air.

Misi bantuan seperti ini bukanlah julung-julung kali diadakan, sebelum ini MBI telah pun menghulurkan beberapa misi bantuan di beberapa negeri yang terjejas banjir seperti di Selangor dan Pahang.

Bantuan tersebut akan dihantar kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri tersebut yang terjejas teruk akibat banjir.