IPOH: Isu persekitaran, keselamatan dan kesihatan pekerja merupakan asas penting di dalam sesebuah organisasi sektor kerajaan.

Menyedari kepentingan itu, Jawatankuasa Keselamatan Kebakaran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menganjurkan Latihan Pengungsian (mengosongkan) Bangunan & Latihan Kebakaran hari ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, latihan itu bertujuan memberi pendedahan dan latihan kepada warga MBI tentang tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan atau bencana.

"Penting untuk pastikan warga MBI sentiasa berwaspada dan peka terhadap amaran kecemasan di samping mengetahui tindakan segera yang perlu diambil.

"Selain mengambil maklum tentang laluan kecemasan yang perlu dilalui ketika berlaku sebarang kejadian kebakaran.

"Latihan ini juga bertujuan untuk memastikan Pasukan Keselamatan Kebakaran dan Floor serta Pembantu Floor Marshall dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing, dalam membantu warga MBI mengosongkan bangunan,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat MBI 2022, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Penguasa Bomba Mohd Azman Hussin, Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Ahli Majlis serta warga MBI.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata program hari ini merupakan salah satu aktiviti sempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau dikenali sebagai OSH Week.

Ia adalah acara tahunan yang disambut pada minggu ke-2 bulan Julai setiap tahun bermula 9 hingga 15 Julai di seluruh negara.

"Pelbagai program dan aktiviti telah, sedang dan akan dilaksanakan bagi menjayakan sambutan tersebut.

"Sambutan ini bertujuan bagi menghebahkan maklumat terkini berkaitan isu keselamatan dan kesihatan serta mempromosi pembentukan dan pemeliharaan budaya kerja selamat dan sihat di kalangan majikan, pekerja dan orang awam," katanya.

Pada tahun ini, tema atau konsep OSH Week adalah “Semarakkan OSHMP25 : KKP Inklusif Kebersamaan dan Komitmen”.

Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 atau Occupational Safety and Health Master Plan 2021-2025 (OSHMP25) merupakan strategi dan program yang dirangka bagi melonjak tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara ke peringkat yang lebih cemerlang.

Ia bertujuan melindungi sumber manusia, yang merupakan aset penting dalam menjayakan program pembangunan negara bagi merealisasikan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).