IPOH: Ayu Wedding Planner hari ini tampil menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya oleh seorang individu menerusi hantaran di platform media sosial baru-baru ini.

Pemiliknya, Azuan Abdul Khair berkata, tuduhan yang mengatakan perniagaannya sebagai 'scammer' dan memberi janji palsu kepada pelanggan disifatkan sebagai melampau dan menjejaskan reputasi.

Ekoran itu, beliau telah melantik barisan peguam serta menuntut individu yang berkenaan memadam hantaran tersebut, di samping permohonan maaf.

"Saya berpandangan ini langkah tepat untuk melantik peguam-peguam, bagi menafikan sekeras-kerasnya fitnah ini.

"Kerana dia (pelaku) telah melemparkan kata-kata yang kurang enak dan unsur fitnah di media sosial Facebook, Twitter dan Instagram.

"Kesan daripada fitnah ini, ramai pelanggan hubungi kami untuk buat pertimbangan membatalkan tempahan majlis perkahwinan mereka tahun ini dan tahun depan," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Menurutnya lagi, beliau turut membuat laporan polis pada 7 Julai lalu dengan tujuan untuk membersihkan namanya dan perniagaan.

Mengulas lanjut mengenai tuduhan terdapat beberapa pelanggan sebelum ini yang pernah menerima nasib yang sama, Azuan menafikan perkara tersebut.

"Saya sudah berniaga hampir 15 tahun dalam bidang ini, komen sebegini (tuduhan ada pelanggan lain jadi mangsa) tidak lagi (terima).

"Ini pertama kali, selama ini yang saya lihat komen di Facebook dan Instagram bukan pelanggan saya.

"Kita ada buat catatan setiap kali pelanggan buat tempahan, apa nama penuh termasuk media sosial mereka. Saya yakin itu bukan pelanggan saya,"katanya.

Azuan menambah, jika tiada sebarang maklum balas dan jawapan daripada pihak berkenaan dalam tempoh tujuh hari, peguamnya akan meneruskan proses seterusnya.

"Dalam masa tujuh hari kami beri tempoh, jika tidak peguam saya akan meneruskan tindakan susulan dengan dikemukakan saman.

Terdahulu, tular di Twitter dakwaan syarikat perancang perkahwinan Ayu Wedding Planner tidak menyediakan makanan yang mencukupi bagi 600 tempahan kerana tetamu yang hadir melebihi 1,000 orang.

Menerusi hantaran itu, dikatakan syarikat tersebut juga menyediakan lauk yang sedikit dan habis seawal pukul 1 petang sehingga pihak keluarga pengantin terpaksa membeli hidangan lain di kedai.

Katanya, cenderamata yang sepatutnya diedarkan kepada tetamu masih berbaki 500 tetapi makanan sudah habis.