GERIK - Ketua Polis Perak, Dato' Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid telah melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik semalam.

Ketibaan beliau dan isteri, Datin Nor Qhadijah Abdul Wahab disambut Ketua Polis Daerah Gerik dan isteri, Supt. Zulkifli Mahmood dan Siti Norashidah Osman.

Semasa berucap, Mior Faridalathrash berpesan kepada warga kerja IPD Gerik agar terus memberi perkhidmatan kepolisan yang profesional, berkualiti dan berintegriti buat seluruh masyarakat.

Beliau juga berkongsi ilmu dan pengalaman sepanjang perkhidmatan dalam bidang penguatkuasaan.

Bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam penugasan harian, Mior Faridalathrash juga menyarankan agar Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) dilakukan tanpa memerlukan tempoh yang panjang pada satu-satu masa namun berterusan.

Pada sesi dialog, beliau telah membincangkan permasalahan dan solusi dalam kalangan warga kerja IPD Gerik.

Bersempena lawatan, Mior Faridalathrash turu menyempurnakan penanaman pokok di pekarangan Dewan Terbuka IPD Gerik dan penyampaian cenderahati.