IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan terus mengekalkan matlamat penganjuran program Ipoh Car Free Day dalam usaha menjadikan Ipoh sebagai sebuah Bandar Rendah Karbon menjelang 2030.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud berkata selaras dengan slogan Gaya Hidup Lebih Bersih, Hijau dan Pintar (Cleaner, Greener & Smart Lifestyle) mampu mempertingkatkan kesedaran dikalangan wargakota mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar dalam mengamalkan gaya hidup hijau dan rendah karbon.

"Car Free Day atau Hari Bebas Kenderaan Bermotor yang dianjurkan sebulan sekali ini, menjadi momentum tepat bagi masyarakat untuk menjaga lingkungan norma kehidupan yang sihat serta mampu menurunkan kadar polusi udara.

"Kita mensasarkan 1000 orang pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat dan ini membuktikan semangat Keluarga Malaysia di negara kita semakin erat tanpa batas sempadan bangsa dan agama", katanya kepada Peraktastic selepas menyempurnakan 'Flag Off' Program Kayuhan Keluarga Malaysia yang disertai lebih 200 penyertaan di Persiaran Bandaraya, Jalan Sultan Abdul Jalil, Ipoh di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak.

Sementara itu, Pengarah Perancang Bandar MBI, Zainal Abdul Hamid berkata Program Ipoh Car Free Day Siri Ke-53 ini,  turut disertai pelbagai agensi dan NGO seperti Kelab Speda Klasik Kinta, OneXOX, Teatime Malaysia, JKM, Buble Giant, Persatuan Daybreak, NASAM dan Jabatan Insolvensi Negeri Perak.

"Kami mengalu-alukan penyertaan dari mana-mana NGO untuk menyertai program ini pada masa hadapan. Penyertaan haruslah mengetengahkan produk atau informasi berkaitan rendah karbon dan teknologi hijau selaras dengan matlamat asal program.

"Kita menyediakan ruang seluas 1.5 kilometer untuk keselesaan semua dalam menjalankan pelbagai aktiviti berkumpulan dan individu.

"Kepada NGO-NGO yang ingin menyertai Ipoh Car Free Day ini, bolehlah mendaftar melalui laman rasmi sosial MBI atau menerusi kumpulan-kumpulan Ipoh Car Free Day yang sedia ada", ujarnya.