IPOH - Kes demam denggi di seluruh negara yang dilaporkan meningkat dengan ketara berbanding tahun lalu perlu diberi perhatian sebelum pihak.

Jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan dari Januari hingga 16 Julai 2022 di bandaraya Ipoh adalah 266 kes, berbanding 101 kes bagi tempoh yang sama tahun 2021.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud berkata, peningkatan sebanyak 163.4 peratus ( 165 kes) itu wajar dibimbangi.

Katanya, bagi kes kematian denggi di negeri Perak pula sehingga 16 Julai 2022 tiada kematian, berbanding 1 kes kematian bagi tempoh yang sama tahun 2021.

"Sehubungan itu, usaha memerangi denggi memang tiada penghujungnya.

"Ia merupakan usaha berterusan secara bersepadu dengan fokus utama ialah untuk menggerak dan menyedarkan masyarakat bahawa peranan mereka dalam mengurangkan tempat pembiakan nyamuk Aedes," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Kempen Kesihatan Persekitaran Tahun 2022 Membasmi Wabak dan Hotspot Denggi di RPT Batu 8, Hulu Kinta pagi tadi.

Turut hadir Ahli Majlis Zon 2 Hulu Kinta,
Kaunselor Puteri Holijah Muhamad Rali, Ahli-Ahli Majlis, ketua-ketua jabatan MBI serta pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Majlis Bandaraya Ipoh telah mencalonkan lokaliti RPT Batu 8, Hulu Kinta untuk dilaksanakan Kempen Membasmi Wabak dan Hotspot Denggi.

Jelas Rumaizi lagi, demam denggi merupakan penyakit bawaan vektor (nyamuk) yang boleh membawa maut selain banyak kes demam denggi dilaporkan dan telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami demam denggi yang teruk

Katanya, wargakota Ipoh berisiko untuk dijangkiti oleh virus denggi melalui gigitan nyamuk Aedes (infefektif) yang membawa virus.

"Nyamuk aedes boleh membiak di kawasan atau bekas yang menakung air dan ianya berkait rapat dengan keadaan kebersihan di rumah dan persekitarannya.

"Setiap masyarakat diseru agar memastikan tiada pembiakan Aedes di sekeliling rumah dengan membuat pemeriksaan di dalam dan di luar rumah sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari.

"Aktiviti memeriksa dan menghapuskan pembiakan Aedes perlu dipertingkatkan terutama pada musim hujan yang sedang berlaku ketika ini, di mana ia boleh menyebabkan banyak kawasan menakung air dan menjadi tempat pembiakan Aedes," ujarnya.