IPOH - Warga bandaraya Ipoh akan menjadi contoh bagaimana penyertaan sosial dalam memerangi wabak denggi agar usaha mereka nanti boleh diteladani.

Ini kerana dalam indeks sosial, markah penyertaan sosial adalah tinggi dan atas sebab itu penglibatan maksimum komuniti adalah penting.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud berkata, sasaran sekurang-kurangnya 90 peratus dapat dicapai warga Ipoh sekali gus boleh menjadi contoh pada penduduk lain di seluruh negara.

"Ipoh akan menjadi pendahulu di negeri Perak dalam usaha memerangi wabak denggi yang telah pun kita gerakkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan komuniti setempat.

"MBI telah mencalonkan lokaliti RPT Batu 8, Hulu Kinta untuk dilaksanakan Kempen Membasmi Wabak dan Hotspot Denggi," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Kempen Kesihatan Persekitaran Tahun 2022 Membasmi Wabak dan Hotspot Denggi di RPT Batu 8, Hulu Kinta pagi tadi.

Turut hadir Ahli Majlis Zon 2 Hulu Kinta, Kaunselor Puteri Holijah Muhamad Rali, Ahli-Ahli Majlis, ketua-ketua jabatan MBI serta pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Pemilihan lokaliti RPT Batu 8 adalah berdasarkan data yang dibekalkan oleh PKD Kinta dimana lokaliti RPT Batu 8 telah diistiharkan lokaliti Wabak Terkawal dan kemudian diisytiharkan lokaliti hotspot dengan tarikh tamat 15 Jun 2022.

Sehingga 1 Jun 2022, sebanyak 9 kes demam denggi telah dilaporkan di lokaliti RPT Batu 8 Ulu Kinta.

Menurut Datuk Bandar, penglibatan masyarakat dalam usaha membanteras penularan penyakit demam denggi memang tidak dapat disangkal.

Jelas beliau, penglibatan mereka melalui projek COMBI Denggi memang telah menunjukkan keberkesanannya.

"Aktiviti pasukan COMBI yang diselaraskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kinta diharap akan dapat ditambah dari semasa ke semasa.

"Sokongan padu dan kerjasama yang erat oleh semua pihak dalam membanteras denggi perlu diteruskan dan dipertingkatkan lagi.

"Semoga Ipoh akan mencapai hasrat untuk menjadi bandaraya contoh selain menjadi bandar raya terbersih menjelang 2023," ujarnya