IPOH - Keseluruhan projek menaik taraf Jalan Tambun di sini dijangka disiapkan pada September tahun hadapan secara berperingkat-peringkat mengikut fasa dirancang.
Ketika ini projek yang sedang berjalan adalah bagi fasa satu dan fasa dua dijangka siap pada penghujung tahun ini.
Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud berkata, justeru warga bandaraya Ipoh khususnya penggunaan jalan di kawasan itu diminta bersabar kerana siap kelak projek tersebut akan membawa perubahan.
"Dalam proses pembinaan itu akan ada kesukaran, jadi pengguna jalan dan penduduk setempat diminta sedikit bersabar.
"Proses pembangunan seluruh kawasan Sunway khususnya Tambun akan berlaku sehingga 2027, jadi dalam tempoh itu akan ada kawasan yang terkesan.
"Dalam jangka panjang peniaga-peniaga di sini akan menikmati pembangunan yang siap kelak kerana objektif kita hendak memajukan Tambun termasuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang rungutan penggunaan termasuk golongan peniaga yang mendakwa terkesan disebabkan projek pembinaan jalan di Tambun yang masih belum siap.
Projek menaik taraf Jalan Tambun ini bertujuan melancarkan aliran lalulintas di jalan tersebut selari dengan pembangunan di kawasan Bandar Sunway Ipoh.
Ia merupakan kolaborasi antara Majlis Bandaraya Ipoh dan Sunway City Ipoh Sdn. Bhd. merangkumi jarak kira-kira 5.2 kilometer dengan kos dianggarkan berjumlah RM16.35 juta.
Peruntukan berjumlah RM8 juta telah disediakan oleh Kerajaan negeri Perak manakala selebihnya ditanggung oleh pihak Sunway sejumlah RM 8.35 juta melibatkan pembinaan jalan, pengambilan balik tanah dan perlantikan jurutera perunding.
Projek naik taraf tersebut telah bermula dari simpang susur masuk Jalan Persekutuan 240 (Ampang-Jelapang) sehingga ke persimpangan lampu isyarat Taman Perpaduan.
Majlis perasmian dan pecah tanah projek tersebut sebelum ini disempurnakan Menteri Besar, Dato' Seri Saarani Mohamad pada Januari lalu.
Projek naiktaraf jalan ini juga akan menyumbang pada pengurangan pelepasan gas karbon daripada asap kenderaan apabila kesesakan lalulintas dapat diatasi dan pergerakan kenderaan bergerak dengan lebih lancar.