IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencipta kejayaan tersendiri apabila menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang menganjurkan kejohanan sukan elektronik.
atau e-sport.
Kejohanan E-Sports Piala Datuk Bandar Ipoh anjuran MBI dengan kerjasama Esports Perak pagi tadi yang berlangsung selama 2 hari ini turut disertai peserta dari Selangor, Melaka, Pulau Pinang dan Johor.
Kejohanan ini adalah antara program Sambutan Ulangtahun Bandaraya Ipoh ke-34.
Bertempat di Stadium Indera Mulia, kejohanan ini telah menarik penyertaan sebanyak 539 orang dengan kehadiran lebih 1,000 peminat sukan tersebut khususnya anak-anak muda.
Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud.
Hadir sama ialah Ahli Majlis MBI merangkap Pengerusi Kejohanan E-Sports Piala Datuk Bandar Ipoh, Kaunselor Nor Afzanizam bin Salleh dan Presiden e-Sport negeri Perak, Muhammad Naim Al-Amin Shaharudin.
Fenomena e-sport yang menjadi kegilaan remaja dilihat semakin berkembang pesat seiring dengan kebangkitan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
E-sport kini telah diiktiraf sebagai satu bentuk sukan kompetitif di peringkat global.
Sementara itu, Rumaizi ketika ditemui pemberita memberitahu, penganjuran kejohanan tersebut menepati dengan perancangan Ipoh untuk menjadi bandar bestari sejahtera yang memfokus sebagai bandar pintar.
Katanya, antara elemen baharu untuk perkara tersebut adalah sukan digital.
"Dalam perancangan untuk teruskan acara ini termasuk menganjurkan e-sport pada skala kecil," ujarnya.
Langkah yang diambil MBI ini boleh diikuti PBT lain dalam usaha untuk meletakkan sukan e-sports setanding dengan negara-negara lain di dunia.
Semoga kejohanan ini bakal melahirkan pemain esport yang hebat dan berkualiti dan tidak mustahil akan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.