IPOH: Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Pepatah itu sesuai untuk menggambarkan penglibatan pelajar sekolah dalam program My Love PTR- Maal Hijrah, yang berlangsung di Perpustakaan Tun Razak hari ini.
Program tersebut mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada 15 peserta, kesemua mereka mempersembahkan cerita masing-masing yang menumpukan topik sempena Maal Hijrah.
Ketua WHIP Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Abu Bakar Hussian berkata, pertandingan itu dapat membentuk peribadi anak-anak muda sekali gus memupuk minat mereka untuk menyertai aktiviti lain yang membabitkan agama Islam.
Katanya lagi, para peserta yang terlibat juga dapat didedahkan dengan pengalaman agama secara praktikal, dan bukan hanya teori semata-mata.
"Tahniah kepada pihak PTR kerana menganjurkan acara begini, serta berjaya mengendalikan program yang sangat bermanfaat.
"Terima kasih juga kepada guru-guru, ibu bapa serta para peserta yang berkobar-kobar untuk menyertai pertandingan ini. Harapnya lebih banyak pertandingan lain yang dianjurkan selepas ini.
"Antara objektif pertandingan ini ialah untuk melahirkan rasa kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW," katanya ketika berucap merasmikan program itu pada Selasa.
Hadir sama, Penolong Pegawai Tadbir PTR, Rohayu Mohd Tahir serta para panel penilai persembahan.
Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam MBI turut menyentuh isu yang membarah dalam kalangan masyarakat ketika ini, terutamanya yang menyentuh sensitiviti agama Islam.
"Tapi sayangnya sekarang ini kita lihat ada segelintir orang yang bertindak menghina Nabi di platform media sosial seperti Youtube dan sebagainya.
"Mereka pijak al-Quran dan macam macam lagi. Kalau kita lihat para sahabat Nabi SAW dalam peristiwa hijrah ini, mereka bertungkus lumus untuk mempromosi Islam walaupun dalam keadaan mereka di Kota Mekah, dibunuh, diseksa tapi tetap sayangkan Islam," katanya lagi.
Persembahan bercerita yang bermula pada jam 10.30 pagi itu membabitkan 15 orang pelajar yang masing-masing dari SK Jelapang Jaya, SK Kg Pasir Puteh, SK Jalan Panglima Bukit Gantang dan SK Jelapang.
Pemenang tempat pertama akan membawa pulang RM150 beserta hadiah iringan dan sijil, tempat kedua RM100 beserta hadiah iringan dan sijil dan ketiga RM50 beserta hadiah iringan dan sijil.