IPOH - Seramai 417 pelajar menerima Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal 2022 daripada Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) melibatkan dana zakat berjumlah RM417,000.

Majlis penyampaian biasiswa pelajaran itu di Hotel Impiana pada 19 Julai lalu.

Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari kepada 72 penerima biasiswa baharu tingkatan empat dan lima melibatkan 38 buah sekolah.

MAIPk dalam kenyataan memaklumkan, penerima bantuan biasiswa terdiri daripada asnaf fakir dan miskin yang berpotensi cemerlang.

Katanya, setiap pelajar menerima RM1,000 yang disalurkan kepada akaun pelajar melalui pemantauan sekolah.

"Pelajar boleh memanfaatkan bantuan untuk persedian dan membeli keperluan pembelajaran (buku rujukan, peralatan tulis dan lain-lain).

"Selain itu pelajar disediakan bantuan dalam bentuk program kecemerlangan bagi memastikan emosi dan rohani mereka bersedia untuk fokus pada pembelajaran seterusnya meningkatkan prestasi," ujar kenyataan itu.

Antaranya seperti program motivasi, program tuisyen percuma, bengkel tips dan teknik menjawab dan program pasca SPM.

Dalam majlis tersebut turut disampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang SPM kepada 28 penerima Biasiswa Baitulmal MAIPk tahun 2021 yang telah mencapai keputusan cemerlang.

Daripada jumlah itu, seorang memperolehi keputusan 12A, 11A (dua), 10A (satu) dan 9A (24).

Diharapkan dengan usaha MAIPk menyediakan biasiswa di samping bantuan persekolahan dapat membantu dan memastikan golongan yang kurang berkemampuan mendapat pendidikan yang sempurna.

Ia seterusnya membantu anak-anak asnaf meningkatan taraf hidup mereka dan semoga mereka perolehi kejayaan untuk keluarga mereka suatu hari nanti.