IPOH: Warga Ipoh digalakkan untuk memuat turun aplikasi PARK@PERAK sebagai persediaan pendigitalan sepenuhnya caj pembayaran tempat letak kereta mulai tahun 2024.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam fasa pendigitalan sepenuhnya daripada segi operasi dan pembayaran caj tempat letak kereta.

Ia dilaksanakan secara berperingkat menerusi aplikasi mobile PARK@PERAK bagi menuju Ipoh Bandar Raya Pintar menjelang 2030.

"PARK@PERAK kini telah menampilkan fungsi terbaru iaitu Pas Harian, Pas Bulanan, Semakan Status Pelekat Kenderaan (Pas VIP, Media dan UTC) dan Ejen Digital.

"Seiring dengan hasrat pelaksanaan pendigitalan sepenuhnya, MBI tidak lagi menjual kupon fizikal kepada ejen jualan kupon letak kereta berkuat kuasa 1 Jun yang lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBI bulan Julai di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun katanya, kupon fizikal sedia ada masih boleh dijual kepada orang awam dan digunakan di MBI sehingga 31 Disember 2023.

PARK@PERAK boleh dimuat turun di Play Store, App Store dan Huawei Gallery.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Unit Letak Kereta di talian 05-2554377 / 05-2554387 / 05-2554388. - ends//