IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengadakan lawatan ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa daerah lain bagi meninjau pelaksanaan mural art yang dilaksanakan oleh pihak berkenaan.

Tujuan lawatan itu antara lain untuk melihat contoh atau pendekatan mural art di lokasi tersebut, bersesuaian dengan projek mural di Kinta Riverwalk dan Fasa 2 Lorong Seni@Lorong Panglima, di sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata lawatan itu membabitkan Jabatan Perkhidmatan Komuniti khususnya Unit Pelancongan serta beberapa anggota jabatan lain dalam MBI.

"Majlis Pelancaran Lorong Seni@Lorong Panglima, Ipoh telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi,
23 Julai lalu.

"Ia akan mula beroperasi pada setiap hari Sabtu mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

"Antara aktiviti yang adakan diadakan adalah pameran dan jualan seni kraftangan diperbuat daripada kayu, rotan, seramik, terracotta, besi, produk-produk diperbuat daripada barangan kitar semula, peralatan muzik serta persembahan buskers," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBI bulan Julai di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Jumaat.

Tambahnya, projek mural art dan pemasangan sculpture yang bersesuaian akan dilaksanakan di Kinta Riverwalk dan Fasa 2 Lorong Seni@Lorong Panglima, Ipoh tidak lama lagi.

Terdahulu media melaporkan, pelancaran Lorong Seni@Lorong Panglima merupakan kesinambungan kepada Lorong Concubine, yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke bandar raya Ipoh khususnya dan Perak amnya.

Bukan sahaja meriah dengan barisan peniaga dan produk jualan, lorong ini turut mengetengahkan pameran kraftangan termasuk peralatan muzik pelbagai kaum.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed berkata ia selaras dengan penjenamaan semula bandar raya Ipoh sebagai bandar seni.