TANJUNG MALIM - Bandar pendidikan Tanjung Malim mempunyai satu lagi tarikan unik yang wajar dikunjungi iaitu Pasar Antik @UPSI pada Sabtu minggu terakhir setiap bulan.

Menariknya, ini juga merupakan satu-satunya pasar antik di Tanjung Malim inisiatif Universiti Pendidikan Sultan Idris menerusi pihak Institut Peradaban Melayu (IPM).

Mula diadakan pada April lalu, minggu demi minggu sambutan orang ramai amat baik termasuk menerima pengunjung dari luar daerah ini.

Ia menarik kunjungan khususnya penggemar barangan antik atau 'rare' dan lama termasuk barangan kegunaan harian zaman sebelum merdeka.

Lokasinya di kawasan parkir kereta di Bangunan IPSI (Tapak Food Truck) juga mudah diakses pengunjung selain konsep mesra pelawat UPSI yang mengalu-alukan tetamu luar.

Pengarah IPM, Profesor Dr. Tajul Shuhaizam Said berkata, pasar antik yang dianjurkan sebulan sekali itu berkonsep terbuka kepada semua pengusaha barangan lama.

Katanya, sehingga kini pihaknya menerima 60 penyertaan peniaga dengan masa berniaga seawal pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari.

"Bagaimana pun, pada satu-satu masa kehadiran peniaga antara 20 hingga 30 selain peniaga trak makanan dan minuman.

"Walaupun pasar antik tetapi setiap peniaga menjual barangan berbeza termasuk barangan retro dan koleksi peribadi yang unik.

"Sambutan daripada komuniti juga sangat menggalakkan, kalau boleh kita berhasrat untuk memasukkan aktiviti ini dalam kalendar pelancongan daerah sebagai salah satu tarikan," ujarnya semasa ditemui Peraktastic semalam.

Jelas Tajul Shuhaizam lagi, selain itu objektif Pasar Antik @UPSI itu juga bagi menyokong peniaga-peniaga tempatan khususnya setelah negara memasuki fasa endemik.

Kata beliau, pada masa sama Pasar Antik @UPSI dapat mewujudkan pembelajaran secara tidak formal tentang bahan pameran seperti peristiwa, rentas budaya dan warisan lama.

"Contohnya matawang. Malah, ada anak-anak yang tidak pernah melihat setem kerana perubahan teknologi perhubungan hari ini.

"Jadi melalui kunjungan mereka bersama keluarga maka mereka dapat mengenali serta melihat dan merasai pengalaman menghargai barangan lama yang memiliki nilai," ujarnya.

Disamping jualan, acara sampingan lain turut diadakan pihak penganjurnya pada pentas berhampiran bagi memeriahkan lagi pengisian pada pagi tersebut.

Misalnya pertandingan mewarna kanak-kanak manakala pada masa hadapan pihak penganjur juga berhasrat melibatkan lebih banyak penyertaan agensi seperti pembukaan kaunter bergerak.