MANJUNG - Seramai 90 orang menyertai Program Pembersihan Pantai dan Kawasan di Sekitar Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Pasir Panjang, Segari dekat sini minggu lalu

Progam tersebut dianjurkan oleh Kelab Seri Perak Darul Ridzuan (KESEDAR) dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Perak.

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Halizah Sipun, program itu untuk mendidik kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak mengenai haiwan marin, penyu yang populasinya semakin terancam.

“Penyu ini adalah salah satu anugerah Allah kepada kita. Maka, ia menjadi tanggungjawab kita untuk bersama-sama mencintai dan menghargai alam sekitar.

"Tambahan pula, penyu telah dikategorikan sebagai haiwan yang terancam gara-gara pembangunan dan aktiviti laut oleh manusia," ujarnya.

Antara aktiviti yang dijalankan semasa program tersebut adalah pelepasan 30 ekor anak penyu spesies Agar, penanaman pokok Ambong-Ambong dan gotong-royong membersihkan kawasan pantai dan kolam penyu.

Ia turut melibatkan 20 orang anak-anak Taska Genius SUK Perak sebagai pendedahan sejak kecil.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengembangan dan Pemindahan Teknologi, Jabatan Perikatan Negeri, Norul Fahiezah Salehhuddin turut berkata, masyarakat perlu lebih cakna mengenai pemuliharaan penyu yang dilakukan oleh jabatan.

“Penyu ini adalah khanazah negara yang perlu dijaga. Malah, ia adalah haiwan yang hampir pupus. Semua pihak wajib saling membantu untuk menyambung kesinambungan penyu.

“Orang ramai seharusnya patuh pada peraturan dan akta yang telah dikuatkuasakan antaranya Akta Perikanan 1985 (Akta 317), Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) dan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021).

“Ini termasuklah larangan penjualan telur penyu serta mempamer penyu tanpa kebenaran Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya.