MANJUNG - Diibaratkan sebagai condong ditumpil, lemah dianduh.
Peribahasa ini tepat bagi menggambarkan pertolongan ikhlas yang dihulurkan terhadap pasangan suami isteri yang berdepan kesusahan oleh Ketua Serikandi Bersatu Bahagian Lumut,
Norhaslinda Zakaria.
Ia bermula dengan panggilan telefon daripada seorang sahabat menghubungi beliau untuk mendapatkan perkhidmatan ambulans bagi kawannya.
Wanita tersebut sedang menjaga suaminya yang terlantar di Hospital Sri Manjung (HSM) sejak sembilan hari lalu dan memerlukan ambulans setelah dibenarkan keluar hospital.
Menurut Norhaslinda, suami wanita itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta mengidap strok otak dan pasangan ini tinggal di Seri Iskandar.
"Menerusi perbualan telefon, Noorazean Dahalan, isteri kepada pesakit yang bernama Shaiful Marzuki Omar berdepan kesukaran kerana tidak mampu mendapatkan khidmat ambulans berbayar.
"Suaminya hanya dibenarkan keluar dari hospital, tetapi mesti menaiki ambulans.
Dalam keadaan yang lumpuh separuh badan memang tidak sesuai menaiki kereta, risikonya sangat tinggi," ujar Norhaslinda ketika dihubungi Peraktastic.
Semasa dalam perbincangan, Azian yang merupakan suri rumah memberitahu dia tidak mampu untuk membayar ambulans persendirian sebanyak RM600 untuk dihantar ke rumah mertuanya di Ipoh.
Apabila ditanya alamat rumah mertuanya di Chepor, Noorhaslinda terus menghubungi Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Puan Za Zaaba.
"Chepor di bawah Parlimen Tambun iaitu Menteri Belia dan Sukan, Dato Seri Ahmad Faizal Dato Azumu @Peja Azumu.
"Alhamdulillah dengan maklum balas yang sangat cepat, permohonan perkhidmatan ambulans untuk bawa pesakit ini diluluskan. Tanpa dikenakan apa-apa bayaran.
"Tahniah kepada Yang Berhormat Ahli Parlimen Tambun kerana ada menyediakan perkhidmatan ambulans untuk orang-orang yang kurang berkemampuan ini," ujarnya.
Kata Noorhaslinda, walaupun tidak mengenali Azian dan hanya berurusan menerusi telefon, beliau merasa sangat bersyukur apabila urusan
suri rumah itu dipermudahkan.
Malah, beliau juga turut sama menunggu ketibaan ambulans dari Ipoh ke Hospital Seri Manjung sehingga urusan pasangan suami isteri itu selesai.
Dalam pada itu, kepada sesiapa yang bermurah hati untuk membantu pasangan ini bolehlah menyalurkan sumbangan menerusi nombor akaun bank yang tertera.