IPOH - Bandaraya Ipoh akan menjadi perhatian peminat sukan hoki dunia apabila kejohanan berprestij, Piala Sultan Azlan Shah akan berlangsung di sini dengan kehadiran pasukan bertaraf bintang.

Piala Sultan Azlan Shah merupakan kejohanan hoki jemputan tahunan yang juga mendapat pengiktirafan Persekutuan Hoki Antarabangsa.

Kejohanan yang berlangsung pada 1 hingga 10 November depan ini melibatkan penyertaan enam buah pasukan termasuk Malaysia selaku tuan rumah.

Pasukan tersebut adalah Korea Selatan, Afrika Selatan, Kanada, Jepun dan Pakistan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, kejohanan edisi kali ini juga akan menjadi medan pemanas bagi pasukan kebangsaan sebelum beraksi pada Piala Asia.

"Setelah hampir dua tahun tertangguh disebabkan pandemik Covid-19 sebelum ini, kita gembira apabila Piala Sultan Azlan Shah kembali diadakan.

"Edisi kejohanan kali ini lebih unik dengan melibatkan lebih banyak pasukan Asia selain pasukan-pasukan utama dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Pengelolaan Kedua Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022 (Edisi ke-29) di sini semalam.

Hadir sama Presiden Persatuan Hoki Perak, Mohd Sayuti Abd Samat dan Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A. Arulselvaraj.

Menurut Subahan, kejohanan Piala Sultan Azlan Shah itu menjadi medan terbaik pada skuad kebangsaan untuk bertemu dengan pasukan-pasukan terkuat Asia.

"Sasaran kita agar skuad kebangsaan dapat melonjakkan kedudukan," ujarnya.

Kali terakhir Piala Sultan Azlan Shah berlangsung adalah pada 2019 manakala edisi 2020 ditangguh ke 2021, namun dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

Korea Selatan merupakan juara pada edisi terakhir manakala Malaysia pula muncul lima kali selaku naib juara sepanjang kejohanan.

ends//