IPOH: Kerajaan negeri telah meminta Lembaga Muzium Perak bertindak sebagai pakar rujukan sebelum sebarang keputusan akhir dapat dibuat berhubung isu mural juruterbang Amerika Syarikat, Amelia Earhart di Taiping.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, tindakan itu adalah jalan terakhir memandangkan wujud dua pendapat berbeza mengenai fakta sebenar isu tersebut.
"Kita telah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk semak fakta dan membuat semakan dengan persatuan sejarah di Taiping yang memulakan inisiatif mural itu.
"Ada percanggahan pendapat di situ, ada dua pendapat berhubung fakta tentang juruterbang itu mendarat atau tidak.
"Jadi untuk buat keputusan mesti ada pakar rujukan, saya arahkan Lembaga Muzium jadi pakar rujukan supaya kita dapat buat tindakan sepatutnya, perkara ini masih dalam siasatan," katanya.
Nolee Ashilin berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan isu mural yang dikatakan wujud percanggahan fakta sebenar.
Sebelum ini beliau berkata pihaknya telah meminta
Majlis Perbandaran Taiping (MPT) membuat semakan semula berhubung isu lukisan mural juruterbang wanita Amerika Syarikat (AS), Amelia Earhart di Jalan Abdul Jalil, Taiping yang didakwa tidak sesuai dijadikan sebagai antara ikon pelancongan daerah itu.
Sebelum ini, wujud perdebatan dalam kalangan ahli sejarah di media sosial mengenai Amelia Earhart yang didakwa tidak melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Tekah, di Taiping pada 7 Jun 1937 untuk mengisi bahan api sewaktu dinobatkan sebagai wanita pertama melakukan penerbangan solo merentas Lautan Atlantik.
Dalam pada itu, ketika ditanya langkah yang akan diambil jika keputusan itu nanti membuktikan juruterbang itu tidak pernah mendarat di Taiping, beliau berkata sudah tentu pihaknya akan membetulkannya.
"Kalau tidak padam sekali pun (mural), mungkin kita akan buat 'disclaimer' atau ralat sebab sejarah mesti betul kan.
"Kita ada beberapa pilihan iaitu padam atau sebaliknya dengan meletakkan 'disclaimer' dengan fakta yang membetulkan perkara itu... mungkin letak (Taiping) ada dalam perancangan penerbangan tetapi dia (Amelia) tak mendarat," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan MPT sudah menyerahkan maklumat lengkap kepada Exco Perak berhubung mural juruterbang wanita itu pada dinding sebuah premis di Jalan Abdul Jalil di sini yang menjadi perdebatan kesahihan fakta sejarah.
Yang Dipertua (YDP) MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, pihaknya peka berhubung perdebatan orang ramai tentang mural yang dihasilkan pada tahun 2019 itu