IPOH : Persatuan Pengendali Umrah Haji & Ziarah Perak (PUHAZ), mendesak pihak penerbangan agar mempercepatkan proses penambahan pesawat bagi melancarkan ibadah umrah yang tertangguh pada bulan Ogos dan September 2022.

Presiden PUHAZ, Mohd Ali Sabri Abdul Rahman berkata kesan daripada syarikat penerbangan yang masih belum beroperasi sepenuhnya, menyebabkan 1,000 orang jemaah dari beberapa syarikat pengendalian umrah di bawah PUHAZ terpaksa menangguhkan penerbangan ke Tanah Suci pada Ogos ini.

Difahamkan sejak awal bulan ini, pengendali umrah berdepan dengan kesukaran untuk menghantar jemaah ke Tanah Suci kerana kekurangan pesawat, sama ada membabitkan syarikat penerbangan tempatan mahupun antarabangsa.

Setakat ini, permohonan telah dibuat ke atas dua syarikat penerbangan, namun sehingga kini tiada jawapan yang mengembirakan.

PUHAZ memohon kepada pihak penerbangan agar mempercepatkan proses penambahan pesawat untuk bulan September dan seterusnya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kadar penerbangan yang menyusut ketika ini, membabitkan kira-kira 20,000 hingga 20,000 bakal jemaah di seluruh Malaysia yang dijadualkan berlepas ke Tanah Suci terpaksa ditangguh.

Sementara itu, Setiausaha Agung PUHAZ, Abdul Jabar Abdul Kahar berkata masalah ini timbul kerana jumlah permintaan semasa bagi ibadah umrah melebihi jumlah penerbangan harian yang beroperasi sekitar sembilan hingga 10 penerbangan sehari, termasuk penerbangan tambahan.

Menurut kenyataan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines, kebanyakan syarikat penerbangan masih belum beroperasi sepenuhnya sepertimana fasa sebelum pandemik COVID-19 disamping masalah kekurangan krew dan keperluan untuk melakukan pemeriksaan penuh pesawat.

Syarikat penerbangan memaklumkan mereka memerlukan sedikit masa untuk melakukan persediaan termasuk kerja pemeriksaan pesawat yang tidak beroperasi dalam tempoh lama disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi agensi yang bernaung di bawah PUHAZ, disarankan untuk menunda tarikh penerbangan sehingga pengendali berhasil mendapatkan tarikh baharu. Bagi yang telah ditunda, tarikh baharu akan diperoleh pada tahun ini juga sekiranya ada penerbangan tambahan.

Sekiranya jemaah gagal berlepas serentak pada masa yang dijadualkan, PUHAZ mencadangkan supaya membahagikan jemaah pada skala kecil berpandukan jumlah kapasiti pesawat yang melibatkan lebih kurang 300 orang penumpang,” ujarnya.

PUHAZ merupakan sebuah persatuan dan penyelaras kepada 35 agensi pelancongan di negeri Perak yang ditubuhkan pada 2018. - Peraktastic