KAMUNTING - Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Perak telah menjalankan sesi penilaian di sebuah premis sarung tangan getah yang terletak di Kawasan Perindustrian Kamunting pada Jumaat lalu.

Ia bagi memenuhi keperluan program Kilang Sarung Tangan Getah Lestari - Anugerah Alam Sekitar.

JAS negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan, ini merupakan salah satu program utama yang dirancang sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perak Tahun 2022.

Menurut kenyataan itu, barisan panel juri yang terdiri daripada Pengarah JAS Perak, Rosli Zul, wakil Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta wakil MARGMA telah menjalankan sesi penilaian lapangan.

"Kriteria penilaian termasuklah pematuhan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, OSHA 1994, fasiliti sistem kawalan pencemaran udara, sistem pengolahan efluen perindustrian dan pengurusan buangan terjadual.

"Turut dinilai ialah persekitaran kerja selamat dan kondusif, lanskap, implimentasi teknologi dan budaya mesra alam, penjimatan & kecekapan tenaga, CSR dan program konservasi alam," ujar kenyataan itu.

Terdahulu, sebanyak enam premis telah dinilai bermula 8 - 12 Ogos 2022.

Program tersebut juga telah melibatkan 7 premis yang mendapat markah tertinggi dalam Penilaian Dokumentasi yang telah diadakan pada 27 hingga 28 Jun 2022 yang lalu.