IPOH: Semua premis perniagaan di bandar raya ini yang enggan mematuhi notis pemasangan Jalur Gemilang bersempena bulan kemerdekaan akan dikenakan kompaun berjumlah RM250.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata pendekatan itu diambil tertakluk di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan, kerana melanggar syarat lesen seperti mana syarat-syarat am yang tertera di belakang setiap lesen premis perniagaan.
Bagaimanapun katanya, selama ini Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih mengamalkan sikap toleransi dengan menasihati pemilik permis berkenaan, berbanding mengenakan kompaun.
"Untuk premis perniagaan, petang ini kita akan mula edarkan 6,000 notis pemasangan bendera di premis-premis perniagaan di Ipoh.
"Selain itu kita (MBI) juga telah memasang lebih 5,000 Jalur Gemilang di jalan-jalan utama dan sekitar bandar raya Ipoh.
"Kalau tak pasang (Jalur Gemilang) memang boleh dikompaun tapi biasanya kita (MBI) nasihat saja dan jarang kompaun. Masih ada toleransi di situ," katanya.
Rumaizi berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh 2022, di Persiaran Bandaraya, di sini pada Khamis.
Lebih 1,000 warga MBI termasuk Ahli-Ahli Majlis turut sama memeriahkan pelancaran program berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menambah pihaknya akan membuat pemantauan berkala selepas notis tersebut diserahkan kepada pemilik premis perniagaan.
"Kita akan pantau premis-premis ini untuk memastikan mereka patuh kepada arahan pemasangan.
"Selalunya seminggu sebelum tibanya sambutan Hari Kebangsaan atau beberapa hari sebelum.
"Penduduk Ipoh pun kita galakkan untuk pasang dan kibarkan Jalur Gemilang untuk semarakkan dan meriahkan sambutan tahun ini," katanya lagi.
Dalam pada itu, Rumaizi menambah secara peribadi beliau berpendapat selain mengibar Jalur Gemilang, kesedaran mengenai kemerdekaan juga perlu seiring.
Katanya penghayatan nilai dan semangat yang dizahirkan menerusi Jalur Gemilang dapat menggilap kembali semangat kecintaan kepada tanah air.
"Bagi saya 'roh' kita menyambut kemerdekaan juga penting. Kesedaran kita tentang apa itu kemerdekaan, perjuangan orang terdahulu untuk dapatkan kemerdekaan.
"Kemerdekaan itu perlu ada satu rasa hormat antara satu sama lain, kalau kita merdeka tapi sikap masih lagi seperti sebelumnya, saya rasa kemerdekaan itu hanya satu majlis," katanya.
Program yang bermula sejak pukul 8.30 pagi di pekarangan MBI itu diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik sempena bulan kemerdekaan.
Antaranya perarakan pasukan Penguatkuasa MBI, persembahan dan pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan rasmi milik MBI.